Sabtu, 6 Oktober 2012

Dr AK: JOHAN META-STATES - Siri 04

"Waalaikummussalam! Naiklah Cikgu. Tak ada siapa di rumah. Nenek sudah ke kebun, tinggal saya seorang saja", jawab Johan apabila mendengar suara orang memberi salam di luar rumah. Suara yang sangat dikenalinya itu mematikan lamunannya. Johan hairan kenapa Cikgu Jaffar datang awal. Biasanya Cikgu Jaffar akan singgah di warung Pak Seman dulu sebelum melawatnya. Cikgu Jaffar mengajar di sebuah sekolah menengah tidak jauh dari kampungnya. 

Setelah bersalam, Cikgu Jaffar bertanya khabar, kemudian menerangkan hajatnya. "Aku datang ini hendak minta tolong sikit, Johan. Itulah! Aku pandai-pandai cakap mengenai VAK dalam mesyuarat guru kelmarin, pengetua terus cadangkan nama aku sebagai pengerusi jawatankuasa untuk meningkatkan prestasi murid dalam peperiksaan. Semua guru bersetuju pula, maklumlah tugas itu melibatkan kelas tambahan di hujung minggu, kebanyakan guru mahu mengelak. Aku terlupa petua guru aku dulu."


"Petua yang bagaimana Cikgu?" tanya Johan ingin tahu. Dia juga hairan bagaimana Cikgu Jaffar tahu nama barunya itu. Baru sahaja dia beritahu nenek, Cikgu Jaffar sudah tahu. Mungkin seluruh kampung sudah tahu. Perkembangan Mat Jenin selepas jatuh dari pohon kelapa menjadi berita hangat di kampung itu dan nenek pula memang terkenal dengan gelaran "Nek Joyah CNN" jadi berita mengenai Mat Jenin tersebar luas dengan begitu cepat.

"Iyalah! dulu guru aku berpesan, kalau mahu selamat, kita mesti duduk diam dan mata mesti pandang ke bawah bila ada soalan. Kalau ada pendapat bernas pun elok diamkan saja sebab dalam mesyuarat selalu berlaku USUS", jawab Cikgu Jaffar menceritakan petua yang telah lama diamalkannya untuk terus mengajar saja tanpa diberi sebarang tugas yang melibatkan pentadbiran.

"Apa itu USUS Cikgu? Kalau usus perut tahulah saya.", tanya Johan, tidak faham.

"Oh! USUS maksudnya 'U Suggest, U Suffer!', jadi untuk selamat jangan suggest anything, nanti diberi tugasan atau jawatan." jawab Cikgu Jaffar, tidak rasa kekok untuk menggunakan bahasa Inggeris sejak Johan sedar dari lena yang panjang. Dia juga hairan bagaimana Johan boleh jadi bijak dalam masa yang singkat sahaja. Tiga minggu adalah terlalu cepat untuk belajar jika benar kata Pawang Hitam "Mat Jenin belajar dengan orang bunian." 

"Oh! Begitu. Jadi apa yang Cikgu mahu saya tolong? Kalau mampu saya bantu.", kata Johan yang mula memahami bagaimana Cikgu Jaffar mempunyai banyak masa lapang di hujung minggu, berbeza dengan Cikgu Murni yang selalu ke sekolah pada setiap hari Sabtu untuk aktiviti kokurikulum, mengendalikan persatuan dan kelab.



Pada hujung minggu, Cikgu Jaffar biasanya di warung Pak Seman untuk minum kopi, kemudian mengajaknya berborak dari pagi sehinggalah dipanggil oleh anak lelakinya untuk makan tengahari. Di sebelah petang pula sehinggalah ayam masuk ke dalam reban dan lembu masuk ke dalam kandang barulah dia beransur pulang. Sejak Johan jatuh dari pohon kelapa, dia tiada teman. Apabila Johan sedar dari tidur yang panjang, Cikgu Jaffarlah orang yang pertama menjengguk. Mungkin dia tidak boleh duduk diam tanpa teman berbual. Sudah tiga hari berturut-turut Cikgu Jaffar datang melawat untuk bertanya khabar.

"Kalau boleh, kau tolong aku tingkatkan prestasi murid-murid sekolah. Tengahari kelmarin aku terangkan VAK dalam mesyuarat, pengetua terpengaruh dan sekarang aku terima akibatnya. Berilah sedikit idea. Kalau ikut aku, mahu aku arahkan semua guru kendalikan kelas tambahan pada setiap hujung minggu. Tapi itu menyusahkan guru pula" jawab Cikgu Jaffar, terasa berat untuk menerima idea sendiri.

"Boleh saya tahu, apa yang Cikgu ceritakan pada guru-guru mengenai VAK. Mungkin kita boleh cari idea untuk kembangkan apa yang Cikgu telah cadangkan dalam mesyuarat itu." tanya Johan hendak tahu apa yang berlaku dalam mesyuarat tersebut. Banyak idea yang bersarang di dalam mindanya tapi biarlah selari dengan cadangan Cikgu Jaffar.

Bersambung... <<Siri 05>>  Dr AK
Key words: VAK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan