Ahad, 14 Oktober 2012

Dr AK: JOHAN META-STATES - Siri 05


Johan menunggu jawapan. Cikgu Jaffar masih sibuk dengan pemetik api, meraba-raba mencari dalam poket seluar kiri dan kanan. Setelah menyeluk poket baju, barulah muka gelisah Cikgu Jaffar menjadi tenang. Rokok kretek buatan Indonesia dinyalakan. Dia menyedut sedalam-dalamnya.

Setelah asap berkepul-kepul naik ke udara, barulah Cikgu Jaffar bersuara. "Iyalah! Aku cerita VAK macam yang kau terangkan pada aku dulu. Bila Pengetua tanya sebarang cadangan dari guru senior yang bestari untuk meningkatkan prestasi murid dalam peperiksaan, aku rasa seperti disuruh-suruh untuk mengangkat tangan dan memberi pandangan. Aku cadangkan supaya murid-murid dikategorikan mengikut VAK. Pelajar Visual diletakkan di bahagian belakang, Auditori di tengah dan Kinestetik di hadapan setiap kelas. Pelajar Kinestatik perlu di hadapan kerana mudah untuk guru menyampaikan pengajaran dalam bahasa Kinestetik."

"Aku tengok semua mata guru tertumpu kepada aku seperti melihat rusa masuk kampung." jawab Cikgu Jaffar, berhenti sekejap untuk menyedut asap dan menghembuskannya perlahan-lahan. Asap rokok melintuk-liuk naik ke atas, berpecah dan hilang sebelum menyentuh atap nipah gerobok nenek. 

"Aku tahu mereka tertanya-tanya apa itu VAK. Aku pun terangkan apa yang dimaksudkan dengan VAK dan bagaimana untuk menentukan pelajar menurut VAK. Kemudian aku terangkan bagaimana hendak berkomunikasi dengan pelajar sesuai dengan VAK mereka. Lebih dari setengah jam baru semua guru berhenti tanya dan berpuas hati. Lepas itu barulah bala menimpa aku. Pengetua suruh aku laksanakan apa yang aku cakap tadi, kemudian cadangkan nama aku sebagai Pengerusi. Semua guru setuju walaupun ada yang berbisik-bisik lepas mesyuarat." kata Cikgu Jaffar sambil menggaru-garukan kepalanya, seolah-olah menyesal dengan tindakannya memberi cadangan. 



"Tapi yang baiknya, Pengetua baru ini bijak merancang dan membantu. Walaupun dia beri aku beban dia arahkan juga semua guru lain untuk beri kerjasama sepenuhnya. Minggu depan aku disuruh beri penerangan mengenai pengajaran cara VAK kepada sekumpulan guru. Aku mengangguk sahaja bila dia serahkan senarai nama guru dan jadual waktu yang telah disiapkan oleh kerani petang semalam. Dalam kepala aku cuma nampak muka kau saja, Johan, untuk bantu aku. Ini jadualnya", kata Cikgu Jaffar sambil mengeluarkan sekeping kertas A4 dan memberi kepada Johan.

Ketika menunggu respons dari Johan, Cikgu Jaffar teringgat pertemuannya dengan Puan Rosmah, pengetua baru yang menggantikan Cikgu Bidin setelah tamat tempoh perkhidmatan. Baru sebulan Puan Rosmah di situ, beberapa perubahan sudah boleh dilihat. Dua hari sebelum mesyuarat, Pengetua meminta Cikgu Jaffar datang ke biliknya untuk berbincang.  

"Saya baru di sini, banyak perkara yang perlu dibuat dan banyak benda yang perlu diubah untuk meningkatkan prestasi pelajar. Saya perlukan bantuan dari semua guru terutamanya Cikgu Jaffar sebagai guru bimbingan dan kaunseling. Saya percaya dan yakin Cikgu sebagai guru senior yang bestari dapat melihat kepada masalah yang ada di sekolah ini dan tahu cara yang sesuai untuk mengatasinya. Sebagai guru bimbingan dan kaunseling, tentu Cikgu boleh pilih kaedah lama atau kaedah baru untuk menggubah nasib anak-anak bangsa kita, bolehkan Cikgu Jaffar bantu saya", kata Puan Rosmah sebelum mengakhiri pertemuan dua pasang mata di bilik Pengetua. Cikgu Jaffar mengangguk dan berkata dengan nada yang perlahan, "Insyaallah, boleh Puan."

Bersambung... <<Siri 06>>  Dr AK


Tiada ulasan:

Catat Ulasan