Selasa, 23 Oktober 2012

Dr AK: JOHAN META STATES - Siri 06


Ketika Cikgu Jaffar berjalan keluar dari bilik Pengetua, Puan Rosmah melihat nota kecilnya, kemudian menyandarkan badan ke kerusi untuk berfikir. Dia teringat pertemuannya dengan Cikgu Bidin beberapa hari selepas dilantik sebagai Pengetua. Sengaja dia mengaturkan pertemuan dengan bekas Pengetua sekolah itu untuk mengetahui sikap dan kemahiran guru serta kaki tangan pejabat supaya mudah untuk menguruskan mereka.

Cikgu Bidin menceritakan perihal bekas kakitangan di bawah jagaannya seorang demi seorang berdasarkan pengalamannya selama sepuluh tahun di situ.  


"Cikgu Jaffar baik orangnya cuma mempunyai sedikit masalah kemurungan, mungkin masalah rumahtangga. Banyak masa dihabiskan untuk berborak di kedai kopi. Jarang saya beri tugas sebab ada saja masalah yang timbul bila diuruskannya. Kadang-kadang dia hadir, kadang-kadang tidak, susah untuk dijangka." kata Cikgu Bidin menceritakan perihal Cikgu Jaffar bila ditanya oleh Puan Rosmah. 

"Dulu dia guru Matematik tetapi memandangkan sikapnya yang jarang ke kelas untuk mengajar dan banyak komplain dari ibu-bapa, saya beri dia tugas sebagai guru bimbingan dan kaunseling." kata Cikgu Bidin lagi.

"Cikgu Jaffar tiada ijazah dalam bidang psikologi atau kaunseling, jadi saya suruh dia hadiri kursus supaya boleh bantu pelajar tetapi ada saja alasannya untuk menggelak. Di sekolah kebanyakan masa dia bertapa di dalam bilik untuk mengendalikan kes disiplin, itu pun bila diminta oleh guru disiplin. Selalunya jarang dirujuk kerana kata guru disiplin hanya menambahkan masalah bila dikendalikannya. Dia agak senior di sekolah ini, guru-guru lain tidak berani mengarahkannya untuk melakukan sebarang tugas." kata Cikgu Bidin.

"Bagaimana pula dengan kegemaran Cikgu Jaffar" tanya Puan Rosmah selepas suasana diam seketika, kata orang Malaikat lalu.

"Kegemaran Cikgu Jaffar saya tahu, kegemaran guru yang lain minta maaflah saya kurang beri perhatian. Tidak banyak yang bercerita kepada saya mengenai minat mereka. Cikgu Jaffar suka dengan ikan, kalau tiada di kedai kopi, dia pergi menangkap ikan dengan anak buah saya, Mat Jenin. Mereka memang berkawan rapat. Kadang-kadang saya terjumpa mereka di hujung kampung mencari ikan laga di paya nipah. Kalau tanya dia fasal ikan laga, semua jenis dia tahu, half moon tail, double tail, crown tail dan macam-macam lagi yang saya dengar dari dia." jawab Cikgu Bidin. 


"Dulu Cikgu Jaffar ada cadangkan Persatuan Ikan Laga, saya tidak bersetuju atas alasan tidak penting untuk pelajar dan skopnya pula terlalu kecil. Takkan pelajar sekolah hendak dibawa menangkap ikan laga di paya nipah, nanti apa kata ibu-bapa. Aktiviti itu pula nampak seperti kebudak-budakkan." terang Cikgu Bidin lagi. 

Cikgu Rosmah hanya mendengar sambil mengambil nota ringkas, tidak ada komen cuma soalan saja yang diajukan. Cikgu Bidin juga hairan mengapa kegemaran setiap guru diberi perhatian. Walau bagaimanapun dia kagum dengan kesungguhan Puan Rosmah yang mengambil tahu latar belakang setiap guru di bawah pengurusannya. Dia juga rasa dihargai bila dijemput untuk memberi pandangan walaupun sudah tidak berkhidmat lagi. Tidak pernah dia terfikir dulu untuk berjumpa dengan bekas pengetua sebelumnya, apa lagi untuk bertanya mengenai kegemaran setiap guru di sekolah itu.  


Bersambung <<Siri 07>> Dr AK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan