Monday, June 17, 2013

Dr AK: Badan Keluarga Santri


16 Jun 2013. Perjumpaan ibu-bapa dan keluarga pelajar PMD Gontor Indonesia di Kelab Tasik Putrajaya. Tertubuhlah badan keluarga santri. Insyaallah menjadi wadah untuk memudahkan ibu-bapa menguruskan anak belajar di sana.

Dr AK: KepadaMu Aku Kembali (1)


Ya Allah! Tuhan yang memiliki segalanya. Berilah aku istiqamah untuk terus berjalan di atas jalanmu.

Ya Allah! Tuhan yang Pengasih dan Penyayang. Sayangilah aku dengan rahmatMu.

Ya Allah! Tuhan yang Suci. Sucikan diriku dari segala kotoran dosa.

Ya Allah! Tuhan yang Bijaksana. Limpahkanlah ilmu kebijaksanaan ke dalam dadaku.

Ya Allah! Tuhan yang Agung. Tetapkan mataku untuk melihat KeagunganMu.

Ya Allah! Sesungguhnya aku terlalu lemah menghadapi setiap ujianMu dan terlalu lalai menerima godaan syaitan dan nafsu. Janganlah Engkau tinggalkan aku. Aku berpaut pada kasih sayangMu dan kecintaanku pada Muhammad dan ahli keluarganya.

*********

Alhamdulillah! tuan berpeluang untuk belajar di luar negara. Tahniah! Sebenarnya tuan yang lebih maklum mengenai diri tuan untuk buat pilihan samada belajar di dalam negeri atau luar negara. Saya cuma boleh berikan satu sudut pandang berdasarkan pengalaman.

Bila tuan di luar negara, tuan akan lebih fokus pada pengajian; tidak perlu terlibat dengan majlis perkahwinan dan doa selamat saudara-mara, sahabat dan jiran-jiran, kurang terpengaruh dengan aktiviti sampingan untuk tambah pendapatan seperti berniaga, melabur dan memberi kursus di sana-sini, bergaul dan bersahabat dengan masyarakat Melayu yang sama cita-cita.

Tetapi yang lebih saya suka ialah dapat merasai hidup berkeluarga yang lebih ideal dan islamik; tuan dan keluarga tuan tidak mengumpul harta atau mengejar kemewahan kerana sedar hidup di sana hanyalah sementara; tuan bergembira dengan pergi melawat ke sana-sini bila berpeluang dan yang lebih penting isteri dan anak-anak tuan pun faham bahawa mereka tidak akan lama di situ, jadi tidak meminta itu dan ini serta redha walaupun hidup bersederhana.

Hidup ini singkat dan kita cuma pengembara tuan, travel light amat penting untuk berjaya sampai ke destinasi. Kalau tuan tidak percaya boleh tanya tourist guide orang asli.

*********

Tuan tengok di hujung sana. Mereka ada masa, ada wang dan ada tenaga untuk datang ke sini; borak-borak, makan-makan dan hisap hooka beramai-ramai.

Kalau mereka masih di sekolah rendah mungkin mereka dengar cakap kita sebagai role model. Bila di sekolah menengah, pengaruh kita sudah kurang. Mereka dengar cakap rakan sebaya lebih dari ibu-bapa.

Kalau kita boleh pastikan masa mereka dipenuhi dengan aktiviti yang berguna 24 jam, tenaga mereka digunakan untuk kerja yang berfaedah 24 jam dan wang yang kita diberi dibelanjakan untuk perkara yang baik 24 jam maka insyaallah mereka akan selamat dari masalah dadah, rempit, bohsia, budaya kuning, couple-couple, ponteng sekolah, rosakkan harta awam dan lain-lain.

Masalahnya kita tidak ada masa, kita tidak ada tenaga dan kita tidak ada wang untuk bimbing dan pantau mereka 24 jam kerana kita juga sibuk bekerja.

Masyarakat di bandar bukan seperti masyarakat di kampung yang rajin menegur jika melihat sesuatu yang tidak kena dilakukan oleh anak jiran. Kadang-kadang jiran sebelah rumah pun ada yang tidak kenal.

Cara paling mudah dan selamat ialah pastikan anak-anak kita berkawan dengan rakan yang baik dan berada di persekitaran yang baik. Biar mereka pilih kawan bukan kawan pilih mereka.

Bila ada ruang masa dengan anak-anak, dekati mereka, dengari cerita mereka, dasari hati mereka kemudian bimbing mereka menggunakan model dunia mereka bukan model dunia kita. Kita juga perlu kenali ibu-bapa rakan anak-anak kita dan saling bertanya khabar. Kita perlu tahu ke mana mereka pergi dan dengan siapa.

Eh! Maaf tuan, tidak perasan hooka dah tak berasap. Nanti saya order perasa yang baru. Kita sudah cuba perasa epal, belum cuba perasa pisang lagi.

*********

Tuan mahu jadi kaya atau miskin adalah pilihan tuan tetapi jika tuan cinta akan sunnah dan sirah, nabi saw memilih untuk zuhud atau bersederhana.

Kata isterinya Aishah, nabi saw dan seisi rumahnya tidak pernah kenyang lebih dari 3 hari sehinggalah beliau wafat. Kadang-kadang dapur tidak berasap lebih dari sebulan kerana makan buah kurma saja. Pernah mereka tidak makan untuk berbuka puasa kerana memberi kepada yang meminta. Nabi saw tidur di atas tikar, bila bangun berbekas ditubuhnya dan tidak nyenyak tidur bila ada baki wang yang tinggal dalam simpanan tidak diberi kepada yang memerlukan.

Mungkin tuan ingat nabi saw tidak berharta atau sememangnya miskin? Tidak tuan, nabi saw memilih untuk hidup sederhana walaupun wang dan harta penuh di tangan. Hasil ladang kurma kepunyaannya di Fadak cukup banyak dan cukai/harta dari negara jajahan melimpah ruah begitu juga dengan khum, seperlima rampasan perang untuknya. Nabi saw banyak harta tetapi memilih untuk hidup sederhana.

Mungkin tuan tertanya-tanya mengapa nabi saw memilih untuk hidup sederhana. Mungkin nasihat beliau kepada orang-orang Ansar yang datang ke masjid untuk mengambil harta dari Bahrain yang dibawa oleh Abu Ubaidah boleh memahamkan tuan. Kata nabi saw "Demi Allah, bukan kefakiran yang aku khawatirkan terhadap kalian, tetapi yang aku khawatirkan adalah jika kekayaan dunia dilimpahkan kepada kalian sebagaimana telah dilimpahkan kepada orang-orang sebelum kalian, kemudian kalian akan berlomba-lomba mendapatkannya sebagaimana mereka berlomba-lomba dan akhirnya dunia itu membinasakan kalian sebagaimana ia telah membinasakan mereka".

Tuan mungkin tahu harta itu membawa kepada kemewahan dan kelazatan. Tengok saya, bila saya ada duit lebih sedikit, saya bawa anak isteri saya makan di Pizza Hut. Sekali kami merasa sedapnya dunia kami hendak lagi dan lagi sehingga budaya makan lazat sebati dan tidak boleh dielak lagi. Saya sudah tidak boleh berpatah balik lagi sebab itu tuan perlu naikkan gaji saya. Bukan untuk saya tuan tetapi untuk anak isteri saya yang sudah terbudaya makan lazat. Dengan gaji sekarang sekali-sekala mampulah tetapi kalau selalu terpaksa berhutang tuan.

*********

Sekali-sekala bila kita letih dengan kehidupan yang mencabar atau kita ingin meminta sedikit kemanjaan untuk rasa disayangi atau kita mencari ketenangan dalam kekusutan, kita rebahkan badan, letakkan kepala di atas riba seseorang yang kita sayang dan biarkan apa yang ada di dalam minda dan dada hilang begitu saja. Kita rehat dengan merasai kasih sayang.

Kaum wanita beruntung kerana boleh bergantung harap kepada riba ibu, ayah, suami dan rakan-rakan yang banyak. Malangnya kaum lelaki hanya boleh berteduh di riba ibu dan isteri. Mungkin sebab itu lelaki terpaksa mencari riba baru bila cuba letakkan kepala di riba isteri dikata "buang tabiat ke? dah tua bangka perangai macam anak kecil". Di mana hendak cari riba lain kalau ibu sudah meninggal dunia? Kesian kaum lelaki.

*********

Ada beza antara (i) berjalan, (ii) berlari dan (iii) tersadung jatuh. Kita adalah penunggang kuda yang menentukan tujuan dan arah perjalanan samada hendak menunggang secara perlahan atau laju tetapi jika kuda tersadung dan kita jatuh tersungkur, itu adalah dugaan dan ketentuan Allah. Kita cuma hambaNya. Belajarlah untuk bangun semula dan menunggang lagi. Tetapi jika kita tahu kuda itu sudah mati, amatlah tidak cerdik jika kita masih menunggang kuda tersebut untuk sampai ke destinasi.

**********

Ya Allah! Indahnya ciptaanMu di luar sana. Engkaulah yang Pengasih dan Penyayang. Engkaulah yang Merancang dan Menghisab. Engkau jualah yang membolak-balikkan hati hambaMu.

Ya Allah! Sesungguhnya minda dan hatiku adalah milikMu. Uruskanlah keduanya dengan sebaik urusan dan janganlah Engkau biarkan aku menguruskannya walaupun seketika. Jadikanlah aku seorang hamba yang berjalan di atas jalanMu. Janganlah Engkau biarkan aku terlalai dengan tanggung-jawabku dan terleka dengan permainan dan keindahan dunia yang mengasyikkan. Sampaikan kerinduanku pada kekasihMu Muhammad dan ahli keluarganya. Amin.

Sunday, June 16, 2013

Dr AK: NLP dan Neuro-Semantics?


Ada sahabat bertanya kepada saya, apa istimewanya NLP dan Neuro-Semantics? Ramai pemikir, trainer, fasilitator, motivator, guru, mentor, bisnesman, kaunselor, ahli politik, pendebat, penceramah dan kerjaya lain berjaya dan hebat tanpa perlu belajar atau tahu NLP dan Neuro-Semantics.

NLP dan Neuro-Semantics adalah ilmu kecemerlangan serta komunikasi yang mempengaruhi. Setiap perkara yang menghasilkan kejayaan itu melibatkan ilmu NLP dan Neuro-Semantics samada sedar akan ilmu itu atau tidak.

Untuk mudah faham saya selalu buat perumpamaan; beza antara orang yang tahu ilmu NLP dan Neuro-Semantics dengan orang yang tiada ilmu ini dalam bidang masing-masing seperti jurutera yang menggunakan powertools dengan tukang kayu yang menggunakan penukul dan gergaji. Keduanya boleh membina bangunan dengan teknik dan cara fikir masing-masing. Biasanya bangunan yang dihasilkan oleh jurutera mempunyai pengiraan yang tepat dan mengambilkira pelbagai faktor keselamatan, ada lukisan kejuruteraan (plan) untuk disemak dan mudah difahami oleh kontraktor yang membina. Ianya berstruktur dan lebih tersusun.

Ilmunya juga adalah koleksi pengetahuan pelbagai ilmuan terulung dunia dalam pelbagai bidang termasuklah psikologi, hipnosis, bahasa dan antropologi serta diperhalusi dan dibuktikan berjaya melalui R&D bukannya hasil fikir seorang individu dalam bidang tertentu.

Walaupun kursus NLP dan Neuro-Semantics sangat mahal di pasaran berbanding kursus lain, ianya berbaloi untuk dibuat pelaburan kerana ia adalah software untuk minda. Tidak hairanlah ada sahabat saya yang sanggup mengorbankan superbike kesayangannya demi untuk menjadi pengamal master NLP / Neuro-Semantics. Saya respek dengan kesungguhannya.

Dr AK: Apa yang utama dalam hidup ini?



Apa yang utama dalam hidup ini? Betul tuan mahu tahu?

Tuan sila tarik nafas dan lepas nafas, rasa relax, rasa tenang. Kalau rasa nak tutup mata tuan boleh tutup mata. Izinkan diri tuan untuk mengikut arahan saya. Cuba tuan bayangkan tuan berada di atas katil hospital selepas serangan jantung. Boleh tuan bayangkan? Cuba tuan lihat dan dengar apa yang ada di dalam bilik itu kemudian tuan rasakan betapa letihnya badan tuan. Semakin tuan cuba hendak bergerak semakin letih tuan rasakan. Tuan rasa seolah-olah tuan tidak akan hidup lama. Cuba tuan ingat tiga perkara utama yang tuan mahu lakukan jika tuan diberi peluang untuk hidup lebih lama lagi? Boleh tuan? Bila tuan sudah dapat tiga perkara utama itu tuan boleh buka mata dengan perlahan-lahan dan tuan akan merasa segar selepas itu.

Tiga perkara itulah yang utama bagi tuan. Untuk saya mungkin berbeza dari tuan. Boleh tuan share dengan saya tiga perkara utama tersebut?

Jurnal Q1, Jurnal Q1 dan Jurnal Q1.

Mashaallah! Tuanlah ahli akademik idola saya (sambil peluk).

Dr AK: Tuan Hendak Berjaya?


Tuan hendak berjaya dalam kemahiran apa?

Kemahiran sebagai seorang peniaga restoran, usahawan mee, pedagang barang buatan China, pelukis potraits, penulis novel kreatif, pemain badminton, guru disiplin, jurufoto, kontraktor atau sebarang kemahiran lain?

Apa yang tuan perlu lakukan ialah "modeling". Setiap kejayaan meninggalkan jejak dan struktur yang boleh diikuti.

Dr. Richard Bandler mampu melakukan kemahiran terapi gestalt Fritz Perls dengan hanya melakukan "modeling" tanpa perlu mengambil kursus psikologi. Itulah juga rahsia kejayaan Anthony Robins, memodelkan kecemerlangan orang lain. Tuan hanya perlu pilih seorang yang berjaya dalam kemahiran yang tuan inginkan dan lakukan "modeling".

Masalahnya tuan mungkin tidak tahu bagaimana hendak lakukan "modeling" macam Dr. Richard Bandler dan Anthony Robbins.

Untuk melakukan "modeling" tuan perlu tahu sistem representasi diri tuan dan orang yang tuan mahu modelkan. Tuan perlu dapatkan corak pemikiran (meta-program) beliau. Tuan perlu mahir "meta model" untuk mendapat struktur kemahiran beliau melalui "chuncking down". Tuan perlu tahu menggunakan "submodaliti" untuk memahami "wayang minda" beliau supaya tuan boleh padankan dengan "wayang minda" tuan.

Mudahnya beginilah, selain perkara "luaran" tuan perlu tahu perkara "dalaman" orang yang ingin tuan modelkan seperti semangat beliau dan apa yang ada dalam mindanya.

Menghadiri bengkel dan membaca buku orang berjaya baik untuk modeling perkara "luaran" tetapi perkara "dalaman" masih tersembunyi kerana orang yang berjaya itu pun tidak tahu struktur kemahiran di dalam mindanya jika tidak dicungkil. Perumpamaannya jika kita mahu masukkan jantung orang lain ke dalam badan kita, bukan semudah ambil dan pasang, perlu lihat pelbagai aspek supaya sesuai seperti jenis darah, saraf dan lain-lain.

Banyak ilmu NLP dan Neuro-Semantics terpendam sebab itu saya galakkan pengamal asas NLP untuk habiskan pengajian mereka sehingga peringkat master, sekurang-kurangnya. Di peringkat master pun rasa macam perlu belajar lagi.

P/S: Tengah fikir untuk buat sistem "modeling" untuk ahli akademik dan pelajar cemerlang menggunakan kaedah NLP/Neuro-Semantics untuk program Ed.D?

Dr AK: Persidangan Antarabangsa Neuro-Semantics 2013, 21-23 Jun Shah Alam



Beribu-ribu tahniah untuk peserta Persidangan Antarabangsa Neuro-Semantics pada 21-23 Jun nanti di Shah Alam. Anda bukanlah trainer, fasilitator, kaunselor, motivator, coach, pendidik dan pemikir yang biasa tetapi bertaraf internasional serta mengemaskini pengetahuan.

Anda adalah contoh kepada peserta atau orang bawahan anda yang mencintai dan bijak menilai ilmu.

Seperti semut menghurung madu, peserta datang dari 20 negara termasuk USA dan Afrika Selatan. Persidangan internasional kali ke-dua ini mengumpulkan pengasas Neuro-Semantics, Dr Michael Hall serta world top Meta-coach, trainer dan motivator seperti Collin Cox dan Lina Cray.

Sebagai pengamal NLP / Neuro-Semantics, saya sangat teruja untuk menimba teknologi minda dari ahli-ahlinya.

Ada sahabat trainer tanya saya apa itu Neuro-Semantics? Secara bergurau saya tanya dia balik "Macamana you masih dalam bisnes training dan motivasi tapi tidak tahu Neuro-Semantics? Satu dunia sudah tahu."

Sebenarnya saya faham, dari segi teknologi minda Malaysia agak terkebelakang jika dibandingkan dengan negara lain seperti Jepun ataupun Indonesia. NLP yang bermula di tahun 70an di USA pun terasa asing di Malaysia apatah lagi Neuro-Semantics yang muncul di tahun 90an. Generasi ketiga iaitu "Generative Trance" yang dipelopori oleh Dr. Stephen Gilligan dan Dr. Robert Dilts jangan ditanya kewujudannya di Malaysia.

Tahniah juga kepada warga MTM dan sukarelawan yang berusaha keras untuk menjayakan persidangan yang bersejarah ini kerana peluang untuk melihat event seperti ini di masa hadapan adalah tipis memandangkan perkembangan Neuro-Semantics yang cepat dan meluas.

Semakin anda memikirkan tentang Neuro-Semantics semakin teringin anda untuk menimba ilmu dari ahlinya di Shah Alam nanti.

Thursday, June 13, 2013

Dr AK: Makna "Kaya" dan "Miskin"


Kadang-kadang kita tertanya-tanya, apakah erti "kaya" dan apakah erti "miskin". Imam Ali dengan tegasnya berkata "seandainya kemiskinan itu berwujud (seperti orang) maka aku orang yang pertama membunuhnya".

Kenyataannya agak kontradik dengan cara hidupnya. Dari ladang pertanian dan kebun kurma, beliau mendapatkan penghasilan yang melimpah. Beliau tidak membelanjakan hartanya untuk melawan hidup dan memperbaiki kualiti apa yang dimakan atau dipakai keluarganya. Beliau tidak menumpuk untuk masa depan dan anak-anaknya. Beliau membelanjakan hartanya di jalan Allah.

Jika beliau membeli ratusan budak lalu membebaskannya dan mewakafkan hartanya untuk kebajikan sosial, beliau bukanlah seorang "miskin" tetapi memilih cara hidup "miskin", sesuai dengan hadis koleksi Imam al-Bukhari dan Muslim “Kekayaan yang sebenar bukanlah kemewahan harta. Tetapi ia adalah kaya jiwa (merasa cukup dengan apa yang ada).”

Ini berbeza dengan sesetengah orang yang "bagaikan musang dengan anggur", tidak dapat memiliki harta setelah berusaha keras kemudian membenci harta dan hidup dalam kemiskinan (terpaksa).

Semasa kita memperkata orang cina tamakkan harta, ada seorang penarik beca telah menderma sebanyak RM150,000 dalam masa 20 tahun. Beliau telah memberi RM250 terakhirnya dan berkata, “Ini adalah derma terakhir saya kerana saya sudah tua dan tidak dapat bekerja lagi”. Beliau meninggal dunia pada umur 93. Namanya Bai Fan Li. Mungkin dialah orang cina yang paling "kaya" di zaman modern ini untuk dibuat modeling.

Wednesday, June 12, 2013

Dr AK: Viva Doktor Falsafah


12 Jun 2013. Setelah beberapa hari menyemak tesis bertajuk "Advanced Constitutive Modeling of Granular Materials Incorporating Fabric Anisotrophy Effects" ditulis oleh Homayoun Shaverdi dari Iran, saya mengakui hasil kerja yang dilakukannya amat bernilai. Ianya seperti mengulangkaji kursus Continuum Mechanics yang pernah saya ambil sedekad yang lalu di University of Cape Town. Viva yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Azami ini adalah cepat, siap dalam masa 1 1/2 jam sahaja. Prof. Dr. Ing. Andreas Oshsner adalah pemeriksa luar dan saya sebagai pemeriksa dalam. Tahniah kepada calon doktor falsafah yang lulus dengan sedikit pembetulan serta Prof. Dr. Raihan sebagai penyelia utama.





Sunday, June 9, 2013

Dr AK: Bengkel Kaunseling, Kuala Lumpur


7-9 Jun 2013. Bengkel Kaunseling diadakan di Hotel AnCasa, Kuala Lumpur. Rasa bertuah dapat bersama dengan orang kuat Kaunseling UKM, Prof. Dr. Zuria dan PM Dr. Salleh dan orang kuat Psikologi, Dr. Rahim dan rakan-rakan dari UKM. Banyak ilmu pengetahuan yang disampaikan dan pelbagai cerita berdasarkan pengalaman dikongsi bersama sebagai pedoman. Bengkel dari 9 pagi hingga 10.30 malam ini adalah secara santai dan praktikal. Tahniah kepada Prof. Dr. Zuria dan PM Dr. Salleh serta pihak PPA yang berjaya menjadikan bengkel ini realiti. Terima kasih kepada semua yang terlibat. 















Dr AK: Pensijilan Pengamal Asas NLP / Neuro-Semantics, Shah Alam

8 Jun 2013. Dari Kuala Lumpur saya terus ke Shah Alam untuk bersama dengan Akademi NLP Malaysia. Kursus Basic NLP Practitioner selama enam hari tamat pada hari ini. Seperti biasa saya dan beberapa senior NLPers dijemput sebagai penilai kepada 15 peserta yang mempunyai pelbagai latar belakang seperti guru, trainer dan pelajar sarjana. Alhamdulillah pencapaian mereka setelah melakukan pattern Swish, Visual Squash, 6 Steps Framing, COE dan Phobia amat membanggakan. Kebanyakannya mendapat markah yang tinggi dan layak untuk diikhtiraf sebagai Pengamal Asas NLP (NFNLP, USA). Insyaallah mereka akan menghadiri bengkel selama dua hari lagi pada masa hadapan untuk pensijilan Neuro-Semantics (ISNS, USA) pula.

Pada kali ini, Akademi NLP Malaysia juga mengeluar sijil sendiri. Beruntunglah mereka kerana bakal mendapat tiga pensijilan dari institusi NLP yang berlainan. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tuan Hj. Md Taib Mat dan staf Akademi NLP kerana berjaya menghidupkan budaya kecemerlangan untuk yang ke 32 kali. Tahniah juga untuk semua peserta yang telah berjaya. Anda Berhak Hebat!













Thursday, June 6, 2013

Dr AK: MATLAB dan ANN, 5-6 Jun 2013


5-6 Jun 2013. Bengkel MATLAB dan ANN (Artificial Neural Networks) diadakan di Fak. Kejuruteraan & Alam Bina, UKM. Kali ini peserta terdiri dari penyelidik dari UPM dan UKM yang kebanyakannya pakar dalam bidang pengaturcaraan komputer dan Artificial Intelligence (AI) dari fakulti FTSM, berbeza dengan bengkel sebelum ini yang kebanyakannya bidang Kejuruteraan dan Sains & Teknologi. Teruja bila mengetahui anak sahabat saya, Prof. Dr. Kasmiran, bekas pengarah Pusat Komputer, UKM ada bersama dalam bengkel ini. Semoga arwah mendapat tempat yang istimewa di sisi Allah, anak-anaknya sudah besar dan berjaya.

Yang menariknya bengkel kali ini dikendalikan dengan lebih cepat, mungkin pesertanya hebat-hebat belaka disamping jumlah peserta yang separuh dari biasa. Bila saiz kecil, banyak perkara dapat dibincangkan mengenai penyelidikan termasuklah Neuro-Linguistic Programming dan Neuro-Semantics. Saya benar-benar gembira dapat berbincang dan berkongsi ilmu dengan mereka yang sudah fokus dan tahu apa yang mereka mahu. Terima kasih kerana menyertai dan memberi partisipasi yang menggalakkan.