Monday, August 27, 2012

Ke GONTOR, Apa Yang Kau Cari?

27 Ogos 2012. Di waktu pagi saya sekeluarga bergegas ke LCCT. Saya pastikan kedua anak kesayangan kami membawa passport, surat lulus ke program KMI (Kulliyatul Muallimin al-Islamiyyah), tiket kapal terbang dan pen untuk mengisi borang imigresen di Solo (Surakarta), Indonesia.

Apabila sampai di airport, saya melihat wajah-wajah yang saya kenal iaitu ibu-bapa dan anak-anak Pondok Modern Darussalam (PMD) Gontor. Hubungan kami rapat, rasa seperti sebuah keluarga yang besar, mempunyai group sendiri untuk berkomunikasi.

FB Page: "BK Keluarga Santri"
FB Group: "Gontor News"
Blogspot: Berita-Berita Pondok Kami

Banyak anak Gontor yang akan berangkat ke sana pada hari ini malah saya dengar ada anak-anak Gontor dan keluarga datang ke LCCT dengan menyewa bas. Hebat! Terdapat lebih dari seratus pelajar Malaysia di PMD Gontor.



 

Dalam keramaian, saya teringat kali pertama saya bawa seisi keluarga ke Indonesia untuk menghantar anak lelaki yang berusia 13 tahun belajar di sana (2011). Dulu dia pernah belajar di sekolah internasional di Cape Town selama 3 tahun semasa saya cuti belajar. Anak saya mahu masuk ke sekolah menengah aliran Inggeris yang tidak terlalu fokus kepada hal akademik dan banyak aktiviti luar bilik darjah seperti sekolah di Cape Town. 

Saya cadangkan belajar saja di Indonesia kerana lebih dekat dengan Malaysia dan kosnya lebih murah jika dibandingkan dengan sekolah internasional yang ada di Malaysia. Jadi kami melayari internet, mencari sekolah di Indonesia yang sesuai dengan kemahuannya sehinggalah berjumpa dengan PMD Gontor melalui forum, blog dan Youtube. Wang pendaftaran dan visa belajar di PMD Gontor selama setahun adalah sekitar tujuh juta rupiah bersamaan dengan RM 2,500 - RM2,800.

Antara website yang mempengaruhi:

Oh Pondokku Oleh Ust. Muhammad Masruh, Kajang:
http://ohpondokku.blogspot.com/
(Ustaz Mohammad Masruh Ahmad adalah wakil PMD Gontor di Malaysia, sebarang pertanyaan mengenai urusan Visa, pendaftaran dan penempatan boleh berurusan dengan beliau, hubungi/SMS: 0163754925 / 0123398437 atau emel: masruh@yahoo.com atau masruh_gtr@yahoo.com)

Belajar Di Pondok Pesantren Gontor Oleh Imam Bachtiar:
http://imambachtiar.wordpress.com/2010/09/17/bagaimana-belajar-di-gontor/

YouTube PMD Gontor:


Saya sempat membaca novel karangan A. Fuadi yang popular, "Negeri Lima Menara" dan dari situlah saya lebih yakin untuk menghantar anak saya ke sana. Novel A. Fuadi yang dijadikan filem itu boleh dibeli di MPH Alamanda atau dimuat-turun (pdf) dari internet:

Novel "Negeri Lima Menara" Oleh A. Fuadi:
http://www.mediafire.com/?mn03kmdynnn

Pembikinan filem "Negeri Lima Menara" yang meletup di Indonesia itu boleh dilihat di sini:



Pertama kali ke sana, saya dan keluarga mendarat di Yogyakarta untuk melawat tempat-tempat menarik seperti Borobodur dan Gunung Merapi. Seterusnya ke Solo, melawat pasar Klewer dan akhirnya ke PMD Gontor Putra 2 di Ponorogo yang mengambil masa sekitar 4 jam dari Solo dengan kereta sewa.

Ketika meninjau sekitar pondok, saya terlihat satu kata hikmah yang penting untuk direnungkan iaitu "Ke Gontor, Apa Yang Kau Cari...?". Inilah persoalan utama bagi setiap orang yang mahu berjaya dalam hidup iaitu "Apa Yang Anda Mahu?".



Ia merupakan salah satu tonggak dalam NLP yang dikenali sebagai "Well-Formed Outcome". Tonggak lain ialah Rapport, Kepekaan Deria (VAK) dan "Flexibility". Tonggak NLP amat ditekankan dalam bengkel NLP. Hal yang sama juga ditekankan oleh Tn. Hj. Md Taib Mat dalam bukunya "Anda Berhak Hebat".

Apa yang menarik di PMD Gontor ialah selain hal akademik, aktiviti harian seperti menyapu sampah, memasak, bertukang dan lain-lain dilakukan sendiri oleh pelajar dan ustaz. Masing-masing mempunyai jadual untuk bekerja sebagai tukang sapu sampah, pengawal pintu pagar, pengawal malam, pekerja di dapur, menguruskan koperasi sekolah, kafeteria serta mentadbir pondok (tahun lima KMI) kerana kemahiran "soft/life skills" amat diberi perhatian dalam pembelajaran. 

Mereka mempunyai disiplin yang ketat, menurut jadual dan mendengar arahan ustaz sehinggakan terpaksa berlari-lari ke surau bimbang kena denda jika terlewat.Satu perkara yang saya hargai dari PMD Gontor ialah memberi penekanan kepada aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah seperti Pidato dan Drama. Mereka dilatih untuk berani kehadapan untuk menyampaikan pendapat dan mempersembahkan kebolehan.  




Jadual Harian:

03.30            BANGUN TIDUR
03.30-03.45 PERSIAPAN SHOLAT TAHAJJUD DAN SHUBUH
03.45-04.00 SHOLAT TAHAJJUD
04.00-04.45 MENGAJI AL QURAN DAN SHOLAT SHUBUH
04.45-05.15 MUHADATSAH / MENGAJI PAGI
05.15-06.30 MAKAN PAGI
06.39-06.55 PERSIAPAN MASUK KELAS
06.55-08.30 MASUK KELAS
08.30-09.00 SHOLAT DHUHA DAN ISTIRAHAT
09.00-10.30 MASUK KELAS
10.30-10.55 KELAS
10.55-12.15 MASUK KELAS
12.15-12.30 PERSIAPAN SHOLAT DHUHUR
12.30-13.00 SHOLAT DHUHUR
13.00-13.45 MAKAN SIANG
13.45-14.45 SEKOLAH SORE
14.45-15.00 PERRSIAPAN SHOLAT ASHAR
15.00-15.45 SHOLAT ASHAR DAN MEMBACA MA'TSUROT
15.45-17.00 ISTIRAHAT
17.00-18.30 MEMBACA AL QURAN DAN SHALAT MAGHRIB
18.30-19.00 AGENDA BA'DA MAGHRIB
19.00-19.30 MAKAN MALAM
19.30-19.45 SHOLAT ISYA'
19.45-21.30 BELAJAR MALAM
21.30-22.00 ISTIRAHAT
22.00-03.30 TIDUR

• SELASA PAGI : MUHADATSAH DAN LARI PAGI
• KAMIS SIANG : LATIHAN PIDATO DAN PRAMUKA
• KAMIS MALAM : LATIHAN PIDATO
• JUM'AT PAGI : MUHADTSAH, LARI PAGI, KERJA BAKTI
• AHAD MALAM : LATIHAN PIDATO

Inilah kata-kata hikmat di PMD Gontor yang sudah dipasak dan menjadi inkantasi mereka:



Ini pula syair yang diajarkan kepada mereka pada tahun ke-empat KMI.



Setelah tiga bulan anak saya di sana, saya melawat dan melihat progress yang memberansangkan dari segi sikap, akademik dan akhlak. Saya dapat rasakan kematangan dalam berfikir, boleh bercerita tentang "Apa yang saya mahu?" dan "Bagaimana untuk mendapatkannya?" (dua soalan yang penting untuk berjaya dalam kehidupan), tahu melayan tetamu dengan lebih baik, boleh berbincang dan fokus, lebih tahu membawa diri, berdisiplin dan lain-lain mengikut peta minda saya. Kemudian saya lakarkan pada minda anak perempuan yang berumur 17 tahun pula untuk belajar di sana.

Pada bulan Mac, saya hantar anak perempuan ke PMD Gontor Putri 2 di Ngawi pula. Alhamdulillah, selepas tiga bulan, dia sudah terbiasa dengan sistem pendidikan dan persekitaran di situ. Secara umumnya, dia nampak gembira dengan kehidupan di PMD Gontor serta mempunyai banyak rakan dari pelbagai latar belakang, berasal dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura. Saya ingatkan dia bercakap bahasa Arab dan  Inggeris saja (bahasa wajib di PMD Gontor), rupanya bahasa Indonesia, Thailand serta dialek Penang dan Patani sekali dibawanya balik ke rumah semasa cuti hari raya.


Secara umum, anak perempuan lebih sukar untuk mengadaptasi diri dengan sistem di PMD Gontor kerana mereka terpaksa melakukan banyak perubahan dan pengorbanan, terpaksa berpisah dengan hand phone, internet, MP4 player, TV malah sterika elektrik juga. Berpakaian juga ada undang-undang tersendiri, saiz jam, contohnya mesti tidak melebihi ukuran dua jari dan jumlah pakaian yang terhad saja.

Pada hari ini kedua anak saya berangkat ke Indonesia dan akan menetap di sana untuk jangka waktu yang panjang sehingga Ramadhan tahun hadapan. Ianya merupakan satu cabaran buat mereka dan buat kami sekeluarga juga. Bila melihat mereka, saya bayangkan apa yang akan mereka perolehi 10 tahun akan datang (visioning), jadi tidaklah berat untuk melepaskan mereka pergi.

Betullah kata sahabat saya di airport tadi, "Sekarang mereka cuma batu granit, perlu diasah, dikikis dengan disiplin dan kesukaran hidup untuk menjadi marmar (marble). Jika batu granit tidak mahu diasah dan dikikis, kita juga tidak sanggup berkorban, bagaimana ia akan menjadi marmar?" Memang belajar di PMD Gontor satu cabaran yang hebat, hebat bagi anak-anak kerana pembelajaran yang padat, dipantau 24 jam dan hebat bagi ibu-bapa yang hidup bagaikan pungguk rindukan bulan, selalu menjengguk laman web AirAsia untuk tiket tambang murah.

Saya petik kata-kata Ustaz Mohd. Masruh, wakil PMD Gontor di Malaysia, "Tidak ada yang lebih enak bagi seorang anak melainkan hidup bersama ibu-bapa dan bergantung di sebelah ibu-bapa. Segalanya ada dan segalanya tersedia. Sangat berlainan apabila berjauhan dari ibubapa, terpaksa berdikari, bersusah-susah sendiri, menangis menanggung segala kesulitan tanpa ibu-bapa di sebelah. Tetapi itulah pendidikan nyata kehidupan yang sangat alami. Seorang anak sebaiknya tidak merasa dibuang atau dipulaukan, tetapi kerana ibu-bapa yang penyayanglah yang sanggup berpisah dengan anaknya demi masa depannya yang lebih cemerlang. Dari sinilah muncul para pemimpin yang handal dan teguh, sanggup menghadapi segala cubaan hidup".



Diharap artikel ini menjawap soalan yang selalu ditanya kepada saya mengenai PMD Gontor. Banyak yang hairan mengapa saya menghantar anak belajar di "Pondok". Mereka tertanya-tanya apa yang ada dalam wayang minda saya. Mungkin dengan adanya artikel ini dapat memberi satu idea atau alternatif kepada ibu-bapa untuk memikirkan sekolah yang sesuai untuk anak mereka. Belajar di mana-mana pun baik bergantung kepada matlamat yang ingin kita capai dan kekangan dan kelebihan yang kita ada.

Pada pandangan saya, tugas ibu-bapa memelihara anak boleh diibaratkan sebagai menyemai benih mangga. Kita perlu memilih jenis tanah yang sesuai; tanah perlu digembur, perlu dibaja dan pokok perlu disiram dengan sebaik mungkin beserta dengan doa agar berbuah lebat. Jika benih hidup subur dan pokok berbuah, rasalah isinya samada manis atau masam. Jika manis alhamdulillah, boleh dijual buahnya. Jika masam alhamdulillah, boleh buat garam belacan, dicicah sedap juga dimakan. Jika tidak berbuah, alhamdulillah boleh sediakan pelantar, berehat sambil berteduh di bawahnya.Yang penting adalah bagaimana kita memberi "makna" dan berfikiran positif dalam kehidupan.

Walaupun begitu saya ingin melihat mereka mempunyai rohani (spirituality) yang mantap kerana ia adalah tahap neuro-logikal tertinggi yang boleh menyelesaikan pelbagai masalah dalam kehidupan seperti masalah identiti, kepercayaan, keupayaan, kelakuan dan sekitaran.







Surat dari anak perempuan saya sebulan selepas masuk ke program KMI sengaja dipaparkan kerana boleh memberi gambaran keadaan kehidupan di sana. 





Seterusnya --- Ke GONTOR, Apa Yang Kau Cari - 2