Saturday, March 9, 2013

Dr AK: Anda Diuji, Anda Pastinya Hebat!


9 Mac 2013. Sambil goyang kaki di atas kerusi malas di chalet Sungai Congkak, mata melihat air sungai yang mengalir tenang, telinga mendengar bunyi cengkerik yang sekali-sekala menyahut dalam deruman air terjun dan minda pula memikirkan mengapa si jantung hati masih tidak pulang setelah jarum menunjukkan 1 pagi. "Tentu banyak aktiviti yang dijalankan oleh pengawas sekolah di Kem Wirajaya Forest Resort", kata hati sambil sekali-sekali menjenguk bidadari kecil yang sedang tidur di dalam bilik.

Fikiran melayang jauh ke bumi Jawa Timur, tentu kedua belahan jiwa di sana sedang tidur nyenyak di atas tilam nipis di atas lantai bertemankan sekawan pelajar dari pelbagai pelusuk Nusantara di PMD Gontor kerana letih dengan pembelajaran di dalam dan luar bilik darjah yang tidak putus-putus dan esoknya mereka perlu bangun se-awal jam 3:30 pagi untuk melakukan rutin harian. "Pagi ini aku juga ada aktiviti yang mengujakan, dijemput oleh Akademi NLP Malaysia sebagai pemeriksa luar Pensijilan Neuro-Linguistic Programming / Neuro-Semantic (NFNLP, USA) (ISNS, USA)", kata hati sambil mencapai telefon bimbit untuk mendail nombor Selendang Sari.

Alhamdulillah, jam 10:15 pagi tiba di MTM Shah Alam. Gembira melihat wajah-wajah yang sangat dikenali terutama Tn. Hj. Md Taib Mat, sifu NLP dan Meta-States begitu juga teman-teman Akademi NLP yang lain serta wajah-wajah baru yang penuh komitmen untuk melayarkan bahtera NLP dalam kerjaya mereka. Salam perkenalan untuk semua. Teruja dengan hasil ujian. "Anda Diuji, Anda Pastinya Hebat!" Saya yakin NLPer keluaran Akademi NLP Malaysia tidak was-was mengamal NLP untuk kecemerlangan diri dan membantu masyarakat dengan pengetahuan yang ada. Saya hargai jemputan, kerjasama dan persahabatan yang diberikan. Terima kasih.