Friday, August 30, 2013

Dr AK: Lawatan Pelajar Sudan University of Science and Technology


30 Ogos 2013. Bersama dengan pelajar Sudan University of Science and Technology selepas kursus "Design of Slope and Retaining Wall". Mereka melawat Malaysia sambil belajar selama tiga minggu.




Wednesday, August 28, 2013

Dr AK: Bengkel Program Doktor Pendidikan (Ed.D)

27-29 Ogos 2013. Menghadiri kursus Pengurusan Kewangan dan Perundingan (GW8231) di Danau, UKM. Bersama rakan-rakan yang mengikuti program Doktor Pendidikan (Ed.D). Ianya dikira sebagai satu jam kredit. Bersama dengan Prof. Dr. Norhamidi dan En. Azli (Bendahari) sebagai penceramah.






Dr AK: Tahniah! Doktor Falsafah Persuratan Melayu

26 Ogos 2013. Tahniah! Selendang Sari telah lulus pengajian Doktor Falsafah Persuratan Melayu. Selepas viva, berbincang dengan penyelia untuk penambahbaikan tesis. Insyaallah konvo pada tahun ini.


Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah (MTS)

25 Ogos 2013. Bersama warga Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah (MTS) dalam Majlis Ijazah Pelepasan Pelajar ke Turki kali ke-lima serta Majlis Eidul Fitri MTS. Alhamdulillah seramai 15 pelajar akan ke Turki pada 12 Sept. nanti setelah menghafal 30 juz al-Quran selama setahun setengah di Malaysia.

Tengok emak dan bapa memeluk si anak, kemudian melihat si emak menangis kegembiraan amat menyentuh hati, berkembang bunga di hati untuk melihat dan memeluk anak sendiri yang berjaya menjadi seorang hafiz, insya Allah.








Saturday, August 17, 2013

Dr AK: Ke GONTOR, Apa Yang Kau Cari? (12)


17 Ogos 2013. Teringat bagaimana sibuknya pelajar dan ustaz serta ramainya pengunjung di Gontor sekarang ini untuk mendaftarkan anak tersayang mereka.

Terbayang wajah kerisauan capel (bakal siswa) untuk menduduki peperiksaan penempatan tidak lama lagi begitu juga ibu bapa yang datang dari jauh, sejauh Papua bagi Indonesia dan negara-negara lain termasuk Malaysia.

Selain ribuan manusia, Gontor dipenuhi dengan pelbagai kenderaan dan khemah sementara. Usaha mencari tempat menginap di waktu begini adalah sia-sia kerana ditempah sejak awal-awal lagi. Tahun lalu saya cuma berteduh dan bermalam di bawah pohon besar berlapikkan tikar plastik serta bersaksikan bulan dan bintang.

Kebanyakan keluarga dari Indonesia menginap beberapa malam di situ sehingga keputusan peperiksaan keluar. Semua ibu-bapa suspen sehinggalah mereka tahu ke mana anak mereka di tempatkan.

Terdapat sekurang-kurangnya 16 buah pondok Gontor di seluruh Indonesia. Bagi capel dari Malaysia, kemungkinan besar ditempatkan di Ponorogo, Kediri atau Mantigan.

Kadang-kadang tersenyum melihat gelagat ibu-bapa yang beriya-iya mengajar anak menghafal dan mengulangkaji pelajaran sedangkan anak mereka hanya melakukannya dengan sambil lewa. Ada yang menjadi panas baran dan bersifat fisikal.

Peperiksaan di Gontor diadakan untuk mengetahui di mana kelemahan supaya penambahbaikan boleh dilakukan. Tidak lulus subjek dan tidak naik kelas adalah perkara biasa. Pelajar yang masuk ke Gontor ditapis dan dikategori mengikut kematangan berfikir (akademik), bersosial (emosi) dan berakhlak (spiritual) tanpa mengira umur setiap tahun.

Respek dengan seorang walisanti (bapa) yang berpendapat anaknya perlu lebih lama di Gontor supaya lebih halus bahasa Arabnya bila dibandingkan pencapaian dua orang anaknya yang telah melalui pengajian intensif (4 tahun) dan biasa (6 tahun) di Gontor.


Friday, August 16, 2013

Dr AK: Ke GONTOR, Apa Yang Kau Cari? (11)



15 Ogos 2013. Meneliti proposal sponsorship bagi "Pagelaran Seni Panggung Gembira" oleh Siswa Akhir KMI 2014, PMD Gontor 3 Kediri.

Pada tahun akhir, siswa kelas enam akan mengendalikan satu projek besar di mana pelbagai aktiviti kesenian seperti hadroh, seni beladiri dan drama diadakan di Panggung Gembira.

Untuk 2014, anggaran keseluruhan projek ialah Rp. 158,093,500 (RM 52,698). Ianya dilakukan secara bersungguh-sungguh sebagai persembahan terakhir seperti melakukan projek tesis. Ianya merupakan tugasan yang diwajibkan kepada siswa kelas enam setiap tahun.  

Teruja melihat terutamanya dari segi kemampuan siswa menjana pendapatan sendiri (projek RM 50 ribu adalah besar bagi tahap sekolah menengah), melakukan persembahan profesional serta mendapat sokongan dan perhatian ustaz. Tidak keterlaluan jika dikatakan aktiviti kesenian sebegini masih dipandang serong di negara kita. Aktiviti kesenian seperti menari dan berdrama boleh dijadikan "syariah compliant" jika tahu caranya.

Hasil dari projek besar aktiviti kesenian sebeginilah yang melahirkan insan berjiwa besar seperti Dr. K. H. Idham Khalid (mantan wakil PM Republik Indonesia), Prof. Dr. M. Din Syamsudin (Ketua umum PP Muhammadiyah) dan banyak kenamaan lain lagi. Jangan dilihat pada persembahan kesenian semata-mata, lihatlah bagaimana mereka mengurus, bekerjasama (team building), berdikari, fokus dan bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan satu tugasan yang melibatkan pelbagai soft skills (EQ). 

Inilah contoh PBL (Problem Based Learning) yang semakin diterapkan oleh banyak universiti contoh terbaik Aalborg University di Denmark kerana antara kebaikannya (i) menggurangkan perbezaan (gap) pencapaian antara pelajar lemah dan bijak, (ii) meningkatkan soft skills seperti komunikasi, etika, entrepenuership, dll. serta (iii) menjadikan mereka terus boleh-kerja tanpa perlu latihan oleh majikan apabila keluar nanti.

Thursday, August 15, 2013

Dr AK: Ke GONTOR, Apa Yang Kau Cari? (10)


Pondok Modern Gontor berkembang dengan cepat, kini mempunyai sekitar 20,000 pelajar dari pelbagai pelusuk negara i.e. Indonesia, Malaysia (~100 pelajar), Thailand, Singapore, New Zealand, etc antara sebabnya ialah sumbangan wang penambahan bangunan baru (rp. 600,000) dan wang pembangunan kampus darussalam universiti (rp. 600,000) melalui yuran rp. 2,650,000 (RM 883) yang dikenakan setiap tahun.

Kalau difikirkan kos untuk sekolah dan pondok serta belanja makan setiap bulan cuma rp. 510,000 (RM170) sahaja. Kos P&P boleh menjadi rendah kerana semua gurunya mewakafkan diri (tiada gaji), tiada kakitangan pentadbiran & sokongan serta khidmat pengawal, pencuci, tukang masak, pengurus koperasi, dll. kerana diuruskan sendiri oleh pelajar dan guru. Mereka berkhidmat untuk mencari redha Allah. Melakukan sendiri pelbagai tugas pentadbiran, khidmat pelajar, perniagaan dan pelbagai kemahiran lain semasa di pondok menjadikan mereka mampu berdikari.

Sedang berfikir kemampuan diri sendiri dan kesanggupan guru-guru di Malaysia untuk mewakafkan diri. 

Ke GONTOR, Apa Yang Kau Cari... (11).

Dr AK: Sup Ayam Hari Ini


Tuan bukannya ahli politik. Mengapa tuan perlu menyimbah cuka pada makanan yang "pahit"?

Jika "pahit" itu tidak sesuai dengan lidah tuan dan tuan rasa masyarakat perlu disedarkan tentang "pahit" supaya mereka tidak makan, ceritalah yang sebenar dan sejujurnya.

Bila tuan curahkan cuka berlebihan dan suruh masyarakat merasainya, makanan itu bukan lagi "pahit" tetapi sudah menjadi terlalu "masam". Sudah tentu mereka akan menolak sepenuhnya.

Saya bimbang ada sebahagian masyarakat yang "cerdik" mula berfikir dan bertanya mengapa makanan yang diketahui ramai sebagai "pahit" menjadi terlalu "masam". Tambahan pula di zaman "google" ini, maklumat sebenar mudah diakses.

Saya bimbang, masyarakat mula mempertikaikan kredibiliti tuan dan mula meninggalkan tuan bila mereka tahu perkara sebenar.

Kalau tuan ingin berpolitik pun, tindakan tuan itu boleh menghilangkan pengaruh kerana semakin ramai yang tidak percaya dengan tuan.

Berbeza dengan tuan, saya suka ianya samada "pahit" atau "manis" kerana itulah ragam kehidupan yang sebenar. Kalau tidak mahu "pahit" tambahlah gula bukannya menyimbah cuka.

*************



Tuan perlu berhati-hati bila membuat penyelidikan, jangan sampai hasil kajian mudah dipertikai dan tuan tiada hujah yang kuat untuk menyokong.

Kajian yang tuan ingin lakukan melibatkan kerohanian serta kepercayaan, paras teratas dalam neuro-logikal. Hasil kajian tuan akan mudah dipertikai jika tuan sekadar membaca kitab-kitab.

Tuan perlu turun ke lapangan dan belajar dari ahlinya serta hidup bersama masyarakat tersebut untuk melihat, mendengar dan menjiwai kepercayaan serta amalan mereka.

Tuan tengok Profesor ini, dia habiskan 3 tahun hidupnya sebagai "sami" untuk menyelidik kehidupan sami Budha di Naratiwat. Setiap ritual dan amalan sami dilakukannya selagi tidak bercanggah dengan agama termasuklah berkepala botak, berpakaian seperti sami serta menghafal mantera mereka supaya dapat memahami kepercayaan dan amalan masyarakat tersebut. Hasil kajiannya boleh dipercayai.

Tuan tengok pula artikel ini, baru seminggu penulis bersama masyarakat di Afrika sudah berani membuat rencana di majalah. Alat untuk memanggil ikan paus dikatakan sebagai alat musik tarian masyarakat tersebut. Ini contoh kajian lapangan tidak cukup masak.

Tuan tengok tulisan ini pula, penulis telah menghukum kafir pengikut satu fahaman dengan menyenaraikan kepercayaan dan amalan yang dipercayai "sesat", dikutip dari kitab-kitab tanpa menjalankan kajian lapangan. Sebahagian dari senarai tersebut adalah salah dan tidak berkaitan.

Sebagai penyelidik kita perlu bertanggung jawab atas hasil kajian terutamanya kepada yang di "atas" sana.

Saya tiada masalah seperti ini kerana kajian saya tidak melibatkan kerohanian. Tuan cuma perlu percaya hasil kajian saya tepat jika tidak jangan berteduh di bawah bumbung yang saya design.

Saturday, August 3, 2013

Dr AK: Bagaimana Mahu Berfikir Cara Mudah?

Apa yang boleh kita belajar dari "La ilaha illallah" selain maksudnya “Tiada Tuhan Selain Allah” ialah kaedah berfikir yang mudah.

Mulakan berfikir dengan "Penafian" (katakan "La") secara menyeluruh kepada setiap kenyataan yang diterima seperti ayat "Tiada Tuhan" kemudian barulah berfikir mengenai "Pengecualian" seperti ayat "Melainkan Allah".

Bila mendengar sesuatu cerita, melihat sesuatu kenyataan atau menerima sesuatu berita tidak kira dari SESIAPA saja, mulakan dengan "Penafian" (katakan "La") iaitu tidak mempercayai kemudian barulah berfikir mengenai "Pengecualian" iaitu bagaimana berita tersebut boleh jadi benar.

Jadi banyaklah persoalan seperti "Bagaimana", "Bila", "Siapa", "Di mana" dan "Bagaimana jika" berligar dalam minda. Dalam NLP ini dikenali sebagai "Meta Model" atau melakukan "chunking down".

Ingat, mula berfikir dengan "Penafian", katakan "La" dalam minda bila menerima sesuatu berita. Insyaallah, anda bukanlah seorang yang mudah ditipu atau senang menari bila musik dibunyikan oleh orang yang berkepentingan.

Tuesday, July 30, 2013

Dr AK: Iftar Bersama TAMRIN


29 Julai 2013. Iftar bersama TAMRIN (Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia) di Hotel De Palma, Ampang. Berpeluang untuk bertemu dengan Presiden, Dr. Tengku Asmadi, Timbalan Presiden, Tuan Ahmad Fadli, Naib Presiden,Tuan Fauzul Na'im serta Tuan Hj. Adam (Irshad Consulting), Tuan Hj. Malek (Focus Learning) dan Tuan Hj. Tajodin (MIM) sebagai ahli forum dan juga Exco TAMRIN seperti Tuan Mohd Nur Firdaus, Tuan Amin Idris serta ahli TAMRIN yang lainnya.

Tahniah kepada TAMRIN kerana berjaya mengadakan program yang baik di bulan yang baik. Insyaallah usaha akreditasi bertaraf dunia berjaya dilaksanakan dalam masa yang terdekat. Terima kasih atas segala layanan dan kemesraan. Semoga TAMRIN cemerlang dan terus berjalan di atas jalanNya.

P/S: Mulanya nak buat kejutan kepada Dato Dr Fadzilah Kamsah (penasihat tetap TAMRIN), rupanya beliau ada di Berunai. Dato Fadzilah pernah ke Cape Town bersama isteri dan saya sekeluarga meraikan kedatangan mereka dengan menjadi tour guide, bawa melihat tempat-tempat menarik di sana.




Dr AK: Mesyuarat JKAS


29 Julai 2013. Mesyuarat di Jabatan sentiasa meriah dengan aktiviti yang perlu dilaksanakan untuk memenuhi keperluan pelbagai pihak terutamanya universiti dan EAC. Insyaallah sekumpulan pelajar dari Sudan akan datang ke UKM untuk menimba ilmu dari Jabatan Kejuruteraan Awam pada hujung bulan depan. Kebanyakan pensyarah terlibat termasuklah saya yang akan berkongsi ilmu mengenai  "Design of Retaining Wall and Slope Stability" pada 30 Ogos nanti.



Sunday, July 28, 2013

Dr AK: Sabtu Yang Panjang


27 Julai 2013. Bersama Sdr. Tarig ke FRIM Kepong untuk mendaftar bengkel Photoshop kemudian bertolak ke Shah Alam untuk mendengar taklimat mengenai kursus Meta Coaching oleh Hj. Md Taib yang akan diadakan pada 3-10 Disember 2013 nanti.

Untuk menjadi seorang Meta Coach, belanja yang diperlukan ialah sebanyak RM14,000. Alhamdulillah sudah secure RM10,000 buat masa ini dan perlu ikhtiar untuk bakinya saja lagi. Terima kasih kepada Akademi NLP Malaysia yang sanggup untuk membawa masuk program coaching elite ini ke Malaysia, jika tidak belanjanya melebihi RM30,000 kerana terpaksa ke Colorado, USA untuk bersama dengan Dr. Michael Hall. 

Setahu saya kurang dari lima orang Meta Coach (ACMC) di Malaysia di kalangan orang Melayu. Satu peluang yang baik untuk "move forward" serta membantu masyarakat Melayu terutamanya pemimpin atau ketua persatuan/jabatan/syarikat mencapai kecemerlangan untuk diri (self actualizing) serta orang bawahannya. Jika berminat boleh hubungi Akademi NLP Malaysia (03-5513 4588). Boleh semak samada tempat masih kosong.

Selepas taklimat, bertolak ke Kepong pula untuk bengkel Photoshop. Terima kasih Sdr. Hezry dan tim PLF yang mengadakan bengkel secara percuma. Akhir sekali singgah di KFC Sungai Besi untuk berehat dan mengulangkaji Photoshop bersama Sdr. Tarig sementara menunggu azan Maghrib berkumandang dan berbuka puasa. Sampai di rumah sebelum masuk waktu Isyak, hari yang meletihkan tetapi menarik.







Dr AK: Bilik Cinema dan Edutainer


Kalau guru sebegini, tiada masalah pelajar ponteng. "Kelas adalah cinema ilmu dan guru pula adalah edutainer".

Tertanya-tanya pada diri sendiri; berapa pelajar yang hadir kerana minat? berapa pelajar yang minat gembira dengan persembahan? berapa pelajar yang gembira tersentuh hati? berapa pelajar yang tersentuh hati menyambungkan pelajaran sepanjang hayat? berapa yang belajar sepanjang hayat mengamalkan ilmu mereka? berapa yang mengamalkan ilmu berkongsi kepada yang lain? berapa yang berkongsi ilmu mengajar anak-anakku? berapa anak-anakku yang mendoakan kebaikan untuk guru-guru mereka?

dan soalan akhir; BAGAIMANA BOLEH AKU MENGAJAR SUPAYA SEMUA PELAJAR HADIR, GEMBIRA, TERSENTUH HATI, MENYAMBUNGKAN PELAJARAN SEPANJANG HAYAT, MENGAMALKAN ILMU dan BERKONGSI ILMU UNTUK MANFAAT SEMUA?


Wednesday, July 24, 2013

Dr AK: "Understand Quran the Easy Way with NLP", UKM Bangi (3/3)


24 Julai 2013. Hari ke-lima bengkel untuk "Understand Quran the Easy Way" insyaallah tamat pada hari ini. Esoknya akan diadakan bengkel NLP pada sebelah pagi iaitu 9 am - 1 pm.