Saturday, August 17, 2013

Dr AK: Ke GONTOR, Apa Yang Kau Cari? (12)


17 Ogos 2013. Teringat bagaimana sibuknya pelajar dan ustaz serta ramainya pengunjung di Gontor sekarang ini untuk mendaftarkan anak tersayang mereka.

Terbayang wajah kerisauan capel (bakal siswa) untuk menduduki peperiksaan penempatan tidak lama lagi begitu juga ibu bapa yang datang dari jauh, sejauh Papua bagi Indonesia dan negara-negara lain termasuk Malaysia.

Selain ribuan manusia, Gontor dipenuhi dengan pelbagai kenderaan dan khemah sementara. Usaha mencari tempat menginap di waktu begini adalah sia-sia kerana ditempah sejak awal-awal lagi. Tahun lalu saya cuma berteduh dan bermalam di bawah pohon besar berlapikkan tikar plastik serta bersaksikan bulan dan bintang.

Kebanyakan keluarga dari Indonesia menginap beberapa malam di situ sehingga keputusan peperiksaan keluar. Semua ibu-bapa suspen sehinggalah mereka tahu ke mana anak mereka di tempatkan.

Terdapat sekurang-kurangnya 16 buah pondok Gontor di seluruh Indonesia. Bagi capel dari Malaysia, kemungkinan besar ditempatkan di Ponorogo, Kediri atau Mantigan.

Kadang-kadang tersenyum melihat gelagat ibu-bapa yang beriya-iya mengajar anak menghafal dan mengulangkaji pelajaran sedangkan anak mereka hanya melakukannya dengan sambil lewa. Ada yang menjadi panas baran dan bersifat fisikal.

Peperiksaan di Gontor diadakan untuk mengetahui di mana kelemahan supaya penambahbaikan boleh dilakukan. Tidak lulus subjek dan tidak naik kelas adalah perkara biasa. Pelajar yang masuk ke Gontor ditapis dan dikategori mengikut kematangan berfikir (akademik), bersosial (emosi) dan berakhlak (spiritual) tanpa mengira umur setiap tahun.

Respek dengan seorang walisanti (bapa) yang berpendapat anaknya perlu lebih lama di Gontor supaya lebih halus bahasa Arabnya bila dibandingkan pencapaian dua orang anaknya yang telah melalui pengajian intensif (4 tahun) dan biasa (6 tahun) di Gontor.