Thursday, August 15, 2013
Dr AK: Sup Ayam Hari Ini
Tuan bukannya ahli politik. Mengapa tuan perlu menyimbah cuka pada makanan yang "pahit"?
Jika "pahit" itu tidak sesuai dengan lidah tuan dan tuan rasa masyarakat perlu disedarkan tentang "pahit" supaya mereka tidak makan, ceritalah yang sebenar dan sejujurnya.
Bila tuan curahkan cuka berlebihan dan suruh masyarakat merasainya, makanan itu bukan lagi "pahit" tetapi sudah menjadi terlalu "masam". Sudah tentu mereka akan menolak sepenuhnya.
Saya bimbang ada sebahagian masyarakat yang "cerdik" mula berfikir dan bertanya mengapa makanan yang diketahui ramai sebagai "pahit" menjadi terlalu "masam". Tambahan pula di zaman "google" ini, maklumat sebenar mudah diakses.
Saya bimbang, masyarakat mula mempertikaikan kredibiliti tuan dan mula meninggalkan tuan bila mereka tahu perkara sebenar.
Kalau tuan ingin berpolitik pun, tindakan tuan itu boleh menghilangkan pengaruh kerana semakin ramai yang tidak percaya dengan tuan.
Berbeza dengan tuan, saya suka ianya samada "pahit" atau "manis" kerana itulah ragam kehidupan yang sebenar. Kalau tidak mahu "pahit" tambahlah gula bukannya menyimbah cuka.
*************
Tuan perlu berhati-hati bila membuat penyelidikan, jangan sampai hasil kajian mudah dipertikai dan tuan tiada hujah yang kuat untuk menyokong.
Kajian yang tuan ingin lakukan melibatkan kerohanian serta kepercayaan, paras teratas dalam neuro-logikal. Hasil kajian tuan akan mudah dipertikai jika tuan sekadar membaca kitab-kitab.
Tuan perlu turun ke lapangan dan belajar dari ahlinya serta hidup bersama masyarakat tersebut untuk melihat, mendengar dan menjiwai kepercayaan serta amalan mereka.
Tuan tengok Profesor ini, dia habiskan 3 tahun hidupnya sebagai "sami" untuk menyelidik kehidupan sami Budha di Naratiwat. Setiap ritual dan amalan sami dilakukannya selagi tidak bercanggah dengan agama termasuklah berkepala botak, berpakaian seperti sami serta menghafal mantera mereka supaya dapat memahami kepercayaan dan amalan masyarakat tersebut. Hasil kajiannya boleh dipercayai.
Tuan tengok pula artikel ini, baru seminggu penulis bersama masyarakat di Afrika sudah berani membuat rencana di majalah. Alat untuk memanggil ikan paus dikatakan sebagai alat musik tarian masyarakat tersebut. Ini contoh kajian lapangan tidak cukup masak.
Tuan tengok tulisan ini pula, penulis telah menghukum kafir pengikut satu fahaman dengan menyenaraikan kepercayaan dan amalan yang dipercayai "sesat", dikutip dari kitab-kitab tanpa menjalankan kajian lapangan. Sebahagian dari senarai tersebut adalah salah dan tidak berkaitan.
Sebagai penyelidik kita perlu bertanggung jawab atas hasil kajian terutamanya kepada yang di "atas" sana.
Saya tiada masalah seperti ini kerana kajian saya tidak melibatkan kerohanian. Tuan cuma perlu percaya hasil kajian saya tepat jika tidak jangan berteduh di bawah bumbung yang saya design.