Tuesday, October 16, 2012

NLP: Cerita Seorang Sami


Seorang lelaki memandu kereta, tiba-tiba rosak berhampiran dengan sebuah biara.
Beliau pergi ke biara tersebut, mengetuk pintu dan berkata, "Kereta saya rosak. Bolehkah saya menginap di sini malam ini?"


Ketua sami menerima tetamu tersebut, memberi makan dan juga membaiki keretanya. Ketika hendak tidur lelaki itu terdengar bunyi yang pelik dan memukau; bunyi yang tidak pernah didengar olehnya sebelum ini. Keesokan harinya, dia bertanya kepada sami-sami yang ada di situ mengenai bunyi tersebut, tetapi mereka berkata, "Kami tidak boleh beritahu kamu kerana kamu bukanlah seorang sami." Lelaki itu kecewa tetapi mengucapkan terima kasih dan meninggalkan tempat itu.  

Beberapa tahun kemudian, kereta lelaki yang sama rosak di hadapan biara itu. Ketua sami menerima lelaki itu lagi, memberi makan dan membaiki keretanya.
 
Pada malam itu, lelaki itu terdengar bunyi yang sama, pelik dan memukau
minda. Keesokan harinya, dia bertanya mengenai bunyi tersebut, tetapi jawapan yang sama diberikan oleh sami-sami di situ, "Kami tidak boleh beritahu kamu kerana kamu bukanlah seorang sami." Lelaki itu berkata, "Saya sangat ingin tahu, bagaimana saya boleh menjadi seorang sami?"
 

Ketua sami berkata, "Kamu mesti berjalan di seluruh pelusuk bumi dan beritahu kami berapa banyak rumput dan batu yang ada di atas muka bumi. Apabila kamu tahu bilangannya, kamu boleh menjadi seorang sami."
 
Lelaki itu bersetuju untuk melakukan tugas itu kerana terlalu ingin mengetahui bunyi tersebut.
 


Setelah 40 tahun mengembara, lelaki itu kembali dan mengetuk pintu biara. Beliau berkata, "Saya telah mengembara di seluruh pelusuk bumi dan menumpukan hidup saya untuk tugas mengira rumput dan batu. Saya telah temui apa yang kamu minta. Terdapat 371,145,236,284,232 helai rumput dan 231,281,219,999,129,382 batu di muka bumi ini."
 

Ketua sami berkata, "Tahniah! kamu betul dan sekarang kamu dianggap sebagai seorang sami. Mari saya tunjukkan bagaimana bunyi tersebut dihasilkan."
 

Ketua sami membawa lelaki itu ke sebuah pintu kayu dan berkata, "Sumber bunyi ada di sebalik pintu ini." Lelaki tersebut mencapai tombol tetapi pintu itu berkunci. Dia bertanya, "Boleh berikan saya kunci pintu ini?" Ketua sami memberikannya kunci dan pintu itu pun dibuka.
 

Di belakang pintu kayu ada sebuah pintu yang diperbuat daripada batu. Lelaki itu meminta kunci untuk pintu batu pula. Ketua sami memberinya kunci dan dia membuka pintu batu itu. Kemudian dia berjumpa dengan pintu yang diperbuat daripada Rubi pula. Sekali lagi, lelaki itu meminta kunci dan diberikan oleh sami tersebut. Di belakang pintu itu, ada pula pintu lain yang diperbuat daripada batu Nilam. Ketua sami memberikan kunci kepada pintu itu sehinggalah sampai ke pintu yang diperbuat daripada batu Zamrud, Perak dan Topaz.

Akhirnya, ketua sami berkata, "Ini adalah kunci kepada pintu terakhir."
Lelaki itu terasa lega kerana berada di pintu terakhir. Dia membuka pintu dan di sebalik pintu itu dia terkejut kerana bunyi itu datangnya dari sumber yang amat pelik sekali. Ianya merupakan sesuatu yang luar biasa dan menakjubkan.

 
"Saya
tidak boleh beritahu anda apa yang lelaki itu nampak kerana ANDA BUKANLAH SEORANG SAMI. Jangan marah kepada saya sebab saya pun sedang mencari siapa yang mencipta cerita karut ini." - Dr AK.

No comments:

Post a Comment