Wednesday, November 7, 2012

NLP: Piano Merah Mahoni

Bertahun-tahun yang lalu ketika aku masih berusia dua puluhan, aku bekerja sebagai seorang jurujual untuk syarikat piano St. Louis. Kami menjual piano ke seluruh pelusuk negara dengan cara mengiklankan di akhbar-akhbar tempatan. Jika kami mendapat banyak tempahan, kami akan menghantar piano dengan lori.

Setiap kali kami memasang iklan di kawasan ladang kapas di Missouri tenggara, kami akan menerima surat dari seorang wanita tua yang menulis, "Tolong kirimkan sebuah piano baru untuk cucu perempuanku. Warnanya harus merah mahoni. Aku sanggup membayar sepuluh dollar setiap bulan dari hasil jualan telur. "


Tentu saja kami tidak dapat menjual sebuah piano baru dengan nilai sepuluh dollar setiap bulan. Tidak ada bank yang mahu menangani bayaran ansuran sekecil itu, jadi kami abaikan saja surat itu.

Pada suatu hari aku kebetulan berada di kawasan itu untuk memenuhi permintaan beberapa pembeli, dan kerana ingintahu, aku putuskan untuk melawat wanita tua penulis surat itu. Aku sudah membayangkan apa yang akan aku temui. Wanita tua itu tinggal di sebuah pondok kecil sebagaimana lazimnya petani yang berkongsi hasil di tengah ladang kapas.


Pondoknya berlantai tanah dan banyak ayam berkeliaran di dalam pondok itu. Tentu saja dia tidak memiliki kereta, telefon, atau pekerjaan tetap. Dia tidak mempunyai apa-apa kecuali atap di atas kepalanya. Atapnya pun tidak begitu baik kerana aku dapat melihat langit biru dari dalam pondok. Cucu perempuannya kira-kira berusia sepuluh tahun, berkaki ayam dan memakai baju dari bekas karung gandum.


Aku menerangkan kepada wanita tua ini bahawa syarikat kami tidak dapat menjual piano dengan nilai sepuluh dolar sebulan dan aku mohon kepadanya untuk tidak menghantar surat. Aku meninggalkan pondok mereka dengan hati yang hancur.


Keteranganku tidak ada gunanya kerana dia tetap saja menulis surat. Surat dengan permintaan yang sama datang setiap enam minggu. Permintaannya pun sama, sebuah permohonan untuk sebuah piano merah mahoni disertai janji dan sumpah bahawa dia tidak akan membayar lewat. Memang amat menyedihkan.


Beberapa tahun kemudian aku akhirnya mempunyai syarikat piano sendiri dan ketika aku memasang iklan di daerah itu, surat dengan isi yang sama mulai datang. Berbulan-bulan lamanya aku abaikan. Apa yang dapat aku lakukan?


Tetapi pada suatu hari ketika aku berada di kawasan itu, ada sesuatu yang menggerakkan hatiku. Aku membawa sebuah piano merah mahoni di atas lori. Meskipun tahu bahawa aku akan membuat keputusan perniagaan yang keliru, aku menghantar piano tersebut ke pondok wanita tua itu. Aku sendiri yang menanda-tangani kontrak bernilai sepuluh dolar sebulan tanpa bunga dan itu bererti lima puluh dua kali bayaran.


Aku menurunkan piano dan memasukkannya ke dalam pondok dan memilih tempat yang kelihatannya tidak berlaku kebocoran. Aku mengingatkan nenek serta cucunya agar tidak membiarkan ayam bermain dekat piano. Ketika keluar, aku merasa yakin telah membuang sebuah piano baru.


Tetapi memang bayaran datang tepat pada waktunya, lima puluh dua bulan, tepat seperti yang dijanjikan. Kadang-kadang dia membayar dengan wang syiling yang ditampal pada sebuah kertas di dalam sampul surat. Menakjubkan. Aku telah melupakan hal itu selama dua puluh tahun.


Pada suatu hari aku berada di Memphis dalam rangka perniagaan dan sesudah makan malam di sebuah hotel mewah, aku duduk di sofa sambil minum. Di kejauhan aku mendengar alunan suara piano yang amat indah. Aku mencari-cari dan terlihat seorang wanita muda yang cantik sedang bermain di sebuah grand piano. Kerana aku juga seorang pemain piano, aku dapat mengenali permainan seseorang yang mahir. Aku pindah mendekati si pemain piano agar boleh mendengar dan melihat. Dia tersenyum kepadaku dan bertanya apakah lagu yang aku ingin dia mainkan?


Ketika berehat dia menghampiriku dan duduk semeja denganku.


"Adakah anda lelaki yang menjual piano kepada nenekku bertahun-tahun yang lalu?"


Aku tidak menyedari kata-katanya, jadi aku memintanya menerangkan apa yang dia maksudkan. Dia mula bercerita dan aku tiba-tiba ingat. Oh! Dia adalah gadis yang berkaki ayam dan memakai baju dari bekas karung guni itu.


Dia mengatakan bahawa namanya Elise dan kerana dulu neneknya tidak mampu membayar seorang guru piano, dia belajar bermain piano dengan cara mendengar radio. Dia juga mengatakan bahawa mula-mula dia bermain di tempat amal dengan berjalan kaki sejauh tiga kilometer. Kemudian bermain di sekolah dan memenangi banyak pertandingan piano, dan kemudiannya menerima biasiswa. Dia juga bercerita bahawa dia sudah berkahwin dengan seorang peguam yang telah membelikannya sebuah grand piano yang sangat indah.


Kemudian aku bertanya,"Elise, apa warna piano itu?""Merah mahoni," jawabnya.


Apakah dia tahu pentingnya warna merah mahoni itu? Keberanian dan ketekunan dari neneknya untuk mengharapkan sebuah piano berwarna merah mahoni ketika tidak ada orang yang mahu menjual piano kepadanya. Juga kejayaan yang bukan main dari gadis kecil yang berkaki ayam dan hanya memakai baju dari bekas karung gandum.


Mungkin Elise tidak tahu semuanya ini, namun aku amat tahu. Ini semua hanya terjadi kerana kasih seorang nenek terhadap cucunya.


Sumber: Internet

No comments:

Post a Comment