Jumaat, 10 Mei 2013

Dr AK: Ubah, Syukur dan Redha



Hari ini berpeluang untuk menikmati keindahan Tasik Shah Alam. Dua puluh tahun yang lalu di sinilah tempat menghabiskan hujung minggu bila tidak tahu hendak buat apa atau ke mana. Seksyen 6, 17 dan 18 sentiasa dalam kenangan sebagai bekas pelajar PPP/ITM. Di Seksyen 6, tempat mulanya bermimpi dalam Bahasa Inggeris. Di Seksyen 17 dan 18 tempat mengenali peritnya Calculus dan Physics.

Hari ini sempat melihat KFC di Kompleks PKNS dari jauh, di situlah tempat "pekena" rakan-rakan bila harijadi. Terlalu banyak yang berubah di pusat bandar Shah Alam jika dibandingkan sejak dua dekad yang lalu. Rasa seperti masih ada bas-bas mini yang sedang berbaris untuk mengambil penumpang. Hidup ini sentiasa berubah samada secara revolusi atau evolusi. "Ubah" atau "tidak ubah" sama saja bila masa depan tiada siapa yang tahu kecuali Allah. Indahnya jadi seorang muslim; bila berjaya kita "syukur", bila gagal kita "redha", ada peluang kita cuba lagi, usaha tetap diteruskan. Tiada erti "dendam" dan "kecewa".