10 Dis. 2012. Hari ini saya belajar satu ilmu dari seorang mekanik. "Ini barang mati, akal masih hidup, mesti boleh punya..." kata mekanik setelah saya tanya "Macamana boleh baiki?" bila mekanik masih pening kepala memikirkan bagaimana air dapat masuk ke dalam kereta sehingga lantai di bahagian pemandu basah. Sudah beberapa hari dia mencari punca air masuk tetapi gagal. Habis semua seat ditanggalkannya.
Sebenarnya bukan dia saja yang pening kepala, mekanik kedai servis kereta depan rumah saya pun sama, akhirnya suruh saya rujuk ke kedai cermin kereta di Kajang. Mekanik di situ juga tidak dapat cari, katanya bukan masalah cermin, kemudian suruh saya rujuk kepada wakil pengeluar kereta (pusat servis) di Beranang. Setelah melakukan beberapa ujian, mekanik pusat servis dengan yakinnya menyuruh saya ke kedai cermin semula, katanya "kereta ini biasanya bocor di bahagian atas dan bawah cermin. Itu saja kemungkinannya". Kembali ke kedai cermin, setelah berjam-jam melakukan ujian, mekanik masih belum berjumpa dan mengakui bukan masalah cermin. Dia suruh saya keringkan karpet lantai kereta dulu dan datang lagi.
Akhirnya saya buat keputusan untuk hantar ke kedai ketuk-mengetuk, mungkin mereka lebih mahir kerana selalu melondeh kereta untuk dicat semula. Kereta yang rosak teruk akibat kemalangan pun mereka biasa kendalikan, inikan pula kereta baru yang tidak mengalami sebarang kemalangan. Namun, ini kes spesial, ianya masih menjadi misteri kerana tidak tahu punca air masuk walaupun telah dilondeh dan dilakukan berbagai ujian. Mekanik di sini perlukan lebih masa untuk berfikir. "Ini barang mati, akal masih hidup, mesti boleh punya...". Dalam hidup ini banyak masalah yang dihadapi, kita ada akal, tentu boleh memikirkan bagaimana cara untuk menyelesaikannya.
No comments:
Post a Comment