Thursday, December 6, 2012

Dr AK: Sikap & Keupayaan? Peranan Neuro-Logical Level



Alhamdulillah dapat bercuti beberapa hari di kampung, menjenguk keluarga di Kodiang. Sempat menziarahi pusara ibu dan bapa serta berkunjung ke rumah jiran di Jalan Sanglang yang baru meninggal dunia kerana kencing manis. Sempat juga menunaikan solat Maghrib/Isyak di surau kampung. 

Di surau kampung waktu lawatan saya cuma ada tiga orang makmum dan sementara menunggu waktu Isyak, saya sempat berbual-bual dengan seorang jiran. Bila lama tak jumpa, soalan yang biasa keluar ialah berapa anak yang ada sekarang i.e., menunjukkan betapa pentingnya anak dalam kehidupan. Apa yang menarik ialah kami sependapat dalam soal pendidikan anak-anak iaitu mementingkan sikap (EQ) lebih dari keupayaan (IQ). Jiran saya menghantar anaknya ke pondok di Malaysia kemudiannya ke Yaman dengan biaya sendiri dan yang lebih menarik lagi ialah anaknya ke Yaman untuk mencari ilmu, bukan sijil (pengikhtirafan kerajaan) serta tidak mahu ke Mesir dengan alasan terlalu ramai orang Melayu, sukar untuk menguasai bahasa Arab. Itu adalah sikap yang pada peta saya adalah wajar kerana dia tahu matlamat dan tahu bagaimana hendak mendapatkannya serta tahu kekangan yang ada.

Saya teringat satu hadis yang lebih kurang Ibnu Umar berkata: “Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik? “Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik,” (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah). Kalau dilihat dari hadis itu, jelas matlamat spiritual adalah menjadi manusia yang berakhlak dan orang pandai ialah orang yang selalu bersedia untuk melengkapkan diri ke alam akhirat. 

Jika dilihat kepada peringkat neuro-logikal hasil kerja Dr Robert Dilts yang selalu saya gunakan dalam sesi terapi kaedah NLP (Neuro-Linguistic Programming), ianya selari dan bersesuaian.

Untuk menyelesaikan sebarang masalah, contohnya pelajar sekolah tidak menghantar kerja rumah matematik, kita perlu tahu masalah tersebut berada di paras yang mana satu iaitu mungkin di

paras (1) environment, contohnya di rumah terlalu banyak gangguan, pelajar terpaksa menjaga adik kecil, jadi tiada masa untuk buat kerja rumah,
paras (2) behaviours, contohnya pelajar suka menonton TV, akhirnya tidak sempat untuk buat kerja-rumah,
paras (3) capabilities, contohnya pelajar tidak tahu hendak menyelesaikan masalah matematik, jadi tidak berupaya menjawab,
paras (4) belief, contohnya pelajar percaya atau menilai matematik terlalu sukar, jadi tidak mencuba,
paras (5) identity, contohnya pelajar merasakan dirinya seorang pemalas dan tidak perlu menyelesaikan kerja rumah, dan
paras (6) spirituality, contohnya pelajar merasa bersalah/berdosa jika melakukan tugasan tersebut kerana menyalahi hukum agama (mungkin fahaman tertentu).    


Penyelesaiannya ialah dengan menggunakan tahap neuro-logikal yang lebih tinggi untuk menyelesaikan masalah di tahap tertentu contohnya masalah tidak hantar kerja rumah matematik kerana kelakuan yang suka menonton TV (tahap 2), kita boleh gunakan tahap (3) capabilities, (4) belief, (5) identity atau (6) spirituality untuk menyelesaikannya.
Contoh penyelesaian tanpa mengambil-kira sistem VAK dan meta-program seseorang bagi

tahap (3), "Awak mampu berjalan kaki ke sekolah 1 km setiap hari, awak mampu berpuasa sehari suntuk, tentu awak mampu menahan diri dari menonton TV dan buat kerja-rumah, betulkan?",
tahap (4) "Awak percaya masa sangat berharga, menonton TV sehingga tidak sempat buat kerja rumah itu membazirkan masa, betulkan?",
tahap (5) "Semua kawan-kawan awak di sekolah tahu awak seorang yang hebat, seorang pelari yang pantas, sentiasa menang dalam pertandingan, tentu membuang tabiat menonton TV mudah bagi awak, betulkan", dan
tahap (6) "Agama Islam melarang umatnya membazir masa dan bertangguh-tangguh seperti menonton TV sehingga lalai, tentu awak mahu mengunakan masa dengan lebih bermanfaat seperti membuat kerja rumah, betulkan?"

Pengetahuan mengenai peringkat neuro-logikal adalah penting untuk ibu-bapa dan guru terutamanya kaunselor kerana dalam banyak keadaan, kita sendiri (ibu-bapa dan guru) yang menjadikan masalah semakin sukar untuk diatasi kerana silap melabelkan tahap masalah anak-anak/murid. Contoh bagi kes ini, mungkin ibu-bapa/guru akan mengatakan "Kamu ini seorang yang pemalas kerana tidak buat kerja rumah" (tahap ke-5, identity) sedangkan masalah mungkin hanya di tahap pertama, environment (gangguan sekitaran untuk belajar). Bila ditegur begitu, anak-anak/murid boleh jadi percaya dan merasakan diri benar-benar seorang pemalas dan mengabaikan terus soal kerja rumah.

Kalau dilihat pada peringkat neuro-logikal, spiritualilty adalah tahap tertinggi. Jika hendak membentuk anak-anak, mantapkan spirituality pada peringkat awal kehidupan kerana ia dapat menyelesaikan masalah di tahap lain (tahap 1-5). Bila soal spirituality sudah mantap, barulah fikir soal cari makan (kerjaya) atau kejayaan di dunia. Erti kejayaan di dunia berbeza bagi setiap orang mengikut makna yang diberi. Ada yang menganggap kekayaan adalah kejayaan, ada yang menganggap kebahagiaan itu kejayaan, dan ada pula yang menganggap ketinggian ilmu itu kejayaan. Yang pastinya setiap orang boleh bahagia di dunia samada dia kaya atau miskin, berilmu tinggi atau tidak. 

Apa yang dikatakan oleh Datuk Dr Maznah Hamid pada status FB beliau (di bawah) ada benarnya dan sepatutnya diberi perhatian yang serius. Sudah ada beberapa posting saya yang lalu menekankan soal kepentingan sikap berbanding dengan soal keupayaan (akademik). Sesuatu yang membimbangkan saya ialah anggapan masyarakat bahawa kematangan dan kebolehan seseorang pelajar adalah sama mengikut umur sehingga yang mendapat markah rendah dianggap gagal (UPSR, PMR, SPM), bukannya diberikan peluang iaitu masa tambahan (mengulang) untuk meningkatkan kemahiran. Dalam satu kelas, pelajar seeloknya mempunyai kematangan dan kebolehan yang agak seragam, bukannya umur yang sama (sebaya).

Walau bagaimanapun, percutian saya kali ini bermakna kerana sempat meronda kampung, melawat keluarga terdekat, makan buah durian dan rambutan serta menangkap ikan puyu.






===============================================
Datuk Dr Maznah Hamid:

KEPINTARAN + SIKAP YG. WAJAR MERUPAKAN MATLAMAT PENDIDIKAN YANG SEBENARNYA!

Dengan erti kata lain, sikap kita lebih penting daripada bakat yang terserah, atau ijazah tertinggi, jika kita tidak mempunyai sikap yang betul. Bakat dan ijazah itu tidak akan membawa kita ke tahap yang lebih tinggi sebagaimana yang kita harapkan. Kita mempunyai pangkat yang tinggi sekalipun kita akan jatuh juga akhirnya kalau sikap kita tidak betul, tidak jujur dan tidak amanah.

Keseluruhan sistem pembelajaran dari tadika hingga ke pusat pengajian tinggi, perlulah memberi penekanan bahawa betapa pentingnya faktor ini dalam kehidupan kita selepas tamat alam persekolahan.

Jelas sekali sebanyak 90% pendidikan kita ditumpukan untuk mempelajari fakta dan perangkaan sahaja, manakala 10% lagi ditumpukan terhadap pemikiran, perasaan dan tindak-tanduk kita.

Walaupun begitu, 10% ini agak mengelirukan, sebab kebanyakannya ditumpukan untuk sukan, dan aktiviti kokurikulum yang bersifat membina.

Kenyataan tersebut sememangnya agak memeranjatkan terutama apabila menyedari minda pemikiran kita hanyalah dianggap 10% besarnya daripada minda perasaan kita.

Mengikut kajian Universiti Harvard, 85% pencapaian kenaikan pangkat dan apa jua bentuk kejayaan adalah disebabkan sikap kita dan hanya 15% disebabkan kepakaran kita sama ada dalam bidang teknikal, profesional dan sebagainya.

Ini bermakna, kita menghabiskan 90% dari waktu belajar kita, wang ringgit dan tenaga kita untuk membangunkan bahagian diri kita yang akhirnya hanya bertanggungjawab kepada 15% kejayaan kita.

TUJUAN dan hasrat kita mengenai sekolah dan persekolahan ialah supaya sekolah kita menjadi yang terbaik...di mana semua pelajar meninggalkan sekolah dengan BAKAT, KEMAHIRAN, dan KEPINTARAN yang telah DIKENAL PASTI, di mana mereka boleh menjadi apa saja yang mereka inginkan jadi.

Kajian telah menunjukkan bahawa orang yg. mempunyai kepintaran EQ 80% berpotensi utk. lebih berjaya mencipta Kekayaan dan Kebahagiaan, dibandingkan dgn. seseorang yg mempunyai kepintaran IQ yang Tinggi.

Sama2 kita renungi!