4 Feb 2013. Sampai di tol terasa gelabah apabila melihat dompet penuh dengan wang Indonesia saja, masih ada beratus ribu rupiah yang tidak digunakan. Nasib baik dalam kereta ada syilling yang cukup untuk bayar tol dari Bangi ke Sungai Besi. Hati berkata "Oh Ya! Semalam habis Ringgit Malaysia kerana bayar makanan di restoran Red Wok, Bangi dan belum sempat keluarkan wang selepas pulang dari Indonesia. Selepas tol terus ke stesyen Petronas mencari mesin ATM sambil hati berkata "Insyaallah sampai Shah Alam sebelum bengkel bermula", pasang niat betul-betul, apply LUA.
Selepas itu dari Sungai Besi ke Shah Alam trafik agak perlahan dan tersekat-sekat. Bila sampai di Bangunan UMNO Shah Alam, tengok masa di handphone menunjukkan 9:30 am. Hati berkata "Mesti kursus terakhir NLP/Neuro-Semantic Master Practitioner dah mula, sayang sekali kehilangan setengah jam pertama. Ketika sedang mengunci stering kereta di tempat parking, terdengar handphone berbunyi, tot tot, tot tot, message masuk.
Sejak Honda Ballade saya kena curi di pantai Muizenberg, Cape Town saya sentiasa memasang stering lock sehingga sekarang. Ianya merupakan kenangan pahit dan mungkin juga manis bagi saya dan keluarga di sana. Bayangkan ketika pulang dari bersiar-siar di pantai di suatu petang, tiba di tempat parking melihat kereta sudah tiada. Saya, isteri, anak lelaki dan perempuan mencari ke sana sini tetapi tidak berjumpa dan akhirnya kami pasrah walaupun hati tidak mahu percaya kereta sudah hilang. Ketika melepaskan lelah dan pasti kereta telah dicuri, anak perempuan saya yang baru di Gred Dua menangis dan bertanya "Abah! How am I going to go to school tomorrow morning?" dan saya pasti itulah saat yang paling merudum bagi saya di Cape Town.
Alhamdulillah, dalam masa sebulan saya dapat panggilan telefon dari seorang polis, menyuruh saya mengenalpasti kereta yang berjaya dirampas. Pihak polis terjumpa dua buah kereta memiliki plat nombor yang sama di atas jalanraya ketika meronda. Mereka kejar dan akhirnya pemandu/pencuri tersebut meninggalkan kereta dan lari. Ianya satu kebarangkalian yang mungkin 1 per sejuta terjadi. Saya tersenyum apabila diberikan kunci kereta tersebut kerana keadaanya seperti kereta baru setelah diperbaiki dengan baiknya termasuk ditukar empat tayar baru. Mungkin doa anak-anak yang masih bersih jiwanya diterima Allah.
Apabila menaiki tangga menuju lift ke MTM, saya baca message di handphone, teks nya berbunyi "Salam, Dr di mana ya... class dah mula". Bila saya masuk, kelas baru saja bermula... alhamdulillah, saya kecewa dalam trafik tetapi saya senyum apabila tiba kerana kelas baru saja bermula.