Friday, February 1, 2013

Dr AK: Ke GONTOR Apa Yang Kau Cari?... (4)


31 Jan 2013. Cuti selama 10 hari PMD Gontor tamat hari ini. Urusan mendaftar semula perlu dilakukan sendiri oleh santri (pelajar), ibu-bapa tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik untuk membantu. Semasa menunggu anak lelaki mendaftarkan diri di PMD Gontor 3 saya cuma duduk di luar memerhati gelagat anak-anak pondok dan keluarga yang menghantar. Teringat saya perbualan dengan anak-anak saya sepanjang berada di Indonesia.

"Yang itu kelas enam", beritahu anak lelaki saya (14 tahun) semasa makan di cafe pondok. "Macamana abang tahu? abang kan baru di sini (Kediri)", tanya saya kerana pemuda itu hanya memakai pakaian biasa, berurusan di cafe tersebut kemudian mengambil basikal dan berlalu pergi. "Dia tidak bercakap seperti seorang kawan, cakapnya serius sebab mereka (kelas enam) mesti menjaga keselamatan pondok. Badannya besar dan berotot kerana latihan Perbeda (silat)" jawab anak lelaki saya.

Saya teringat malam bersama di hotel, dia menunjukkan tangannya sambil menggenggam penumbuk "Abah! tengok ini" katanya sambil menunjukkan buku limanya yang lebih besar dan berketul-ketul dari saya. Katanya hasil dari latihan mencekak besi dan push-up setiap hari untuk silat Perbeda, Akaido dan silat Brazil yang diajar oleh ustaznya sambil menunjukkan beberapa jurus silat. Anak saya seorang yang kinestatik, sejak di Cape Town sudah digelar "Jackie Chan" oleh anak-anak Cape Muslims dan pernah jatuh pokok dan retak tangan semasa bermain di sekolah. Saya hanya tersenyum, teringat aktiviti di rumah sebelum masuk ke Gontor. Dia hanya pandai bermain dengan playstation dan selalu minta beli game dan senapang mainan. Jauh berbeza sekarang.

"Semua yang mengendalikan cafe ini kelas lima", katanya lagi sambil makan nasi lauk ayam bersama Es Teh. Selain menguruskan cafe, kelas lima mesti menguruskan pentadbiran pondok seperti menjaga tabungan pelajar dan pembayaran yuran. Secara umumnya, pentadbiran sekolah dan segala aktiviti diuruskan sendiri oleh pelajar. Tugas ustaz adalah mengajar secara sukarela (pengabdian diri) dan memberi nasihat di samping meneruskan pengajian di peringkat universiti di ISID.

Setiap pelajar yang lulus kelas enam di Gontor wajib mengabdikan diri selama setahun sebelum mendapat sijil. Bilangan pengajar ramai dan kebanyakannya muda dari segi umur tetapi berpengalaman dalam pelbagai aspek kehidupan kerana bermula dari tahun pertama pengajian di pondok mereka dilatih dan (terpaksa) mempraktiskan kemahiran hidup (soft skills) yang diperlukan, jauh berbeza dari sistem pengajian yang ada di mana-mana negara.   

Sejak mengenali PMD Gontor, saya selalu bandingkan sistem pengajian yang cuba diterapkan oleh universiti di Malaysia seperti OBE (Outcome Based Education), PBL (Problem Based Learning) dan yang terbaru cuba memasukkan elemen-elemen entrepreneurship dalam pengajaran. Mengikut peta minda saya, tiada yang setanding dengan sistem Gontor yang telah menghasilkan ribuan alumni sejak lebih 80 tahun yang lalu kerana (i) ilmu diajar oleh pendidik secara ikhlas/percuma melalui pengabdian diri untuk mencari redha Allah. "Ikutlah orang-orang yang tidak menerima upah - Surah Yassin", (ii) terdapat simulasi kehidupan sebenar dalam sistem pondok ini iaitu selain dari belajar, pelajar perlu menguruskan setiap aktiviti dan pentadbiran pondok (tiada orang luar seperti kerani, ketua jabatan, dll yang makan gaji membantu) dan (iii) pelajar dilatih untuk berdikari dan boleh terus kerja apabila keluar dari pondok.

Matlamat pondok ini bukan untuk menghasilkan pegawai (jurutera, doktor, peguam, dll) tetapi menjadi majikan kepada pegawai-pegawai. Inilah konsep entrepreneurship yang mana kebanyakan universiti masih cuba mencari kaedah untuk diterapkan dalam sistem pendidikan mereka. Tidak hairanlah terdapat banyak kunjungan dari pelbagai negara termasuk dua buah universiti utama di Malaysia untuk mengkaji sistem pengajian pondok yang unik ini.

Ketika mengemaskan barang yang perlu dimasukkan ke dalam bagasi anak perempuan saya di sebuah masjid di Mantigan, Ngawi saya berbual dengan seorang walisantri (bapa) kepada pelajar Gontor yang baru datang dari Bogor, tidak jauh dari Jakarta dengan menaiki bas dan berkhemah di tepi masjid tersebut. Saya tanya "Apa yang membuatkan bapak memilih Gontor, bukannya pasantren di Bogor yang banyak bilangannya?" Katanya "Kebanyakan pasantren itu semuanya alumni Gontor (pengasasnya), jadi lebih baik saya hantar ke Gontor saja."

Sepanjang berulang-alik melawat anak saya di Gontor saya bertemu dengan beberapa profesor pengajian Islam yang sama-sama melawat anak mereka begitu juga dengan guru agama yang memiliki pasantren sendiri, anaknya dihantar ke Gontor. Bila ini terjadi, ia mengukuhkan keyakinan saya terhadap Gontor yang pada mulanya hanya berdasarkan kepada pembacaan dari internet dan novel-novel sahaja.

Sebelum meninggalkan PMD Gontor, teringat kata anak perempuan saya "Tahniah! abah dan mama semakin berjaya sekarang". Kata saya "semua itu tidak mungkin tanpa doa anak-anak abah di Gontor".

Ke GONTOR Apa Yang Kau Cari? ... (5)